.
SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, YB Vivian Wong Shir Yee, menggesa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk memberi tumpuan kepada kestabilan bekalan dengan merancang strategi jangka panjang dengan melancarkan pelan pembangunan lima tahun untuk mengelakkan krisis bekalan air pada masa hadapan.
Jelasnya, ia dengan mengambil kira pelbagai masalah yang timbul dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
Vivian menyatakan perkara ini selepas berhubung dengan Pengarah JANS yang baru, Chee Chun Chieh bagi mengalu-alukan perlantikan beliau dan pada masa yang sama menyampaikan masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk Sandakan.
Vivian berharap JANS dapat belajar dari kesilapan lalu dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Vivian menegaskan bahawa walaupun Sandakan bakal menerima lima buah tangki takungan air, namun ia hanya dapat menyelesaikan sebahagian masalah.
Jelasnya, isu teras adalah keselamatan sumber air, dan JANS perlu merancang dengan berkesan serta menjalankan pelbagai kajian dan penyelidikan untuk memastikan sumber air yang selamat untuk 50 tahun akan datang.
Selain itu, Vivian menekankan bahawa JANS perlu memberi perhatian kepada sistem saluran paip air.
Kaedah JANS sekarang, iaitu membaiki di tempat yang bermasalah, tidak menyelesaikan isu sebenar, malah menyebabkan penduduk Sandakan terperangkap dalam kitaran gangguan bekalan air yang berulang.
Penduduk Sandakan telah lama menderita akibat bekalan air yang tidak stabil, dengan kerapnya paip pecah yang menyebabkan gangguan bekalan air untuk pembaikan, seolah-olah dalam kitaran yang tidak berkesudahan.
“Berapa lama lagi penduduk Sandakan perlu menanggung mimpi ngeri ini,” ujarnya.
Oleh itu, Vivian meminta JANS memasukkan penggantian menyeluruh saluran paip ke dalam pelan mereka, menjalankan kajian saintifik yang khusus dan merancang strategi yang mempunyai impak minimum.
Selain itu, Vivian turut mencadangkan agar laluan paip yang tidak sesuai dipindahkan untuk mengelakkan kerosakan paip akibat perubahan persekitaran tanah.
Sebagai contoh, di kawasan bukit di belakang Batu 2½, paip utama telah pecah beberapa kali dalam tahun-tahun kebelakangan ini dan baru-baru ini paip pecah lagi di belakang stesen minyak Petronas di Batu 2½, Sandakan.
Oleh kerana paip tersebut dipasang di kawasan bukit, pergerakan tanah telah menyebabkan paip tersebut beralih, dan dengan kepadatan rumah setinggan di sekitarnya, laluan paip tersebut mungkin tidak sesuai dan perlu dirancang semula.
Vivian juga meminta JANS memberikan laporan terperinci mengenai isu paip pecah di kawasan tersebut termasuk berapa kali paip telah pecah, kawasan mana yang terjejas akibat pembaikan dan masa diambil untuk pembaikan serta kawasan hot spot pecah paip.
Sementara itu, Vivian menyatakan kebimbangan mengenai perubahan Pengarah JANS yang keempat dalam tempoh lima tahun.
Vivian bimbang bahawa perubahan kerap ini mungkin menjejaskan kecekapan JANS, memandangkan pengarah baharu memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan masalah yang dihadapi oleh JANS.
Walaubagaimanapun, Vivian berharap pengarah baharu JANS dapat menunjukkan kepimpinan yang cemerlang, memimpin JANS dengan fokus kepada pembangunan jangka panjang, menyelesaikan masalah bekalan air Sabah, dan tidak hanya terhad kepada masa kini tetapi juga merancang untuk masa depan, menyediakan strategi awal untuk bekalan air Sabah pada masa hadapan.
Selain itu, Vivian menyeru kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk meningkatkan kerjasama.
Vivian telah beberapa kali mengemukakan soalan mengenai isu bekalan air di Dewan Rakyat, tetapi jawapan yang diterima bahawa bekalan air Sabah sepenuhnya di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Sabah.
Vivian menekankan bahawa hanya dengan meningkatkan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, penyelesaian isu itu dapat dimaksimumkan.
Kerajaan persekutuan mempunyai pasukan profesional yang dapat membantu JANS dalam merancang pembangunan jangka panjang bagi mengelakkan krisis bekalan air berterusan.