KOTA KINABALU – Sabah Electricity sedang dalam peringkat akhir untuk menyiapkan projek naik taraf talian penghantaran elektrik 132kV Segaliud-Dam Road kepada voltan 275kV yang lebih tinggi.
Projek yang bakal dimulatugas oleh Sabah Electricity ini akan membolehkan penyaluran lebih banyak kapasiti tenaga yang lebih murah daripada stesen-stesen janakuasa di Pantai Barat Sabah ke Pantai Timur Sabah.
Usaha ini seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada sumber penjanaan berasaskan diesel dan MFO yang agak mahal dan memerlukan tanggungan subsidi yang sangat tinggi daripada pihak kerajaan.
Talian penghantaran 275kV Segaliud – Dam Road yang bakal dimulatugas pada pertengahan bulan April ini akan dapat meningkatkan penghantaran tenaga daripada 200MW kepada 400MW secara harian ke Pantai Timur Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir.Ts. Mohd Yaakob Hj Jaafar berkata kerja-kerja akhir untuk menaik taraf talian tersebut sedang dilaksanakan bermula pada 22 Mac 2025 sehingga 29 Mac 2025.
“Sabah Electricity mensasarkan kerja-kerja itu akan disiapkan sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan bekalan kepada pengguna tidak terganggu dan sentiasa dalam keadaan terbaik dan stabil bagi menampung beban sepanjang musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Untuk maklumat terkini dan pertanyaan mengenai perkhidmatan Sabah Electricity, pengguna boleh menghubungi Sabah Electricity Careline di 15444 atau Whatsapp 019- 852 5427 atau muatnaik aplikasi Sabah Electricity.