KOTA KINABALU: Pertubuhan Jaringan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sabah (PJKAYS) baru-baru ini telah meraikan lebih 50 anak yatim dan asnaf di Tawau dan Kota Kinabalu melalui majlis berbuka puasa atau iftar sempena Bulan Ramadan tahun ini.
Acara berbuka puasa pertama melibatkan 18 anak dari Rumah Anak Yatim (RAY) Ar-Raudhoh dibawah pengurusan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Tawau (PRAY) yang dipengerusikan oleh Datuk Ir Haji Amrullah Hj Kamal.
Selain daripada berbuka dan solat berjemaah, anak-anak Ar-Raudhoh juga dihadiah sepasang baju raya dan duit raya dari Timbalan Presiden 2 PJKAYS, Dr Fairrul Kadir dan Timbalan Setiausaha Agong 2, Kol Hj Herman Bombang.
Majlis berbuka puasa kedua dianjurkan disebuah hotel dibandaraya KK bersama 35 anak yatim dan asnaf dari RAY As-Sakinah, Kinarut yang diketuai oleh Tuan Hj Nasaruddin Mohamad.
Fairrul yang mewakili Presiden PJKAYS Datuk Eddie Abdullah yang tak dapat hadir disbebabkan kurang sihat, menyatakan bahawa PJKAYS berbesar hati kerana berpeluang menyantuni anak-anak As-Sakinah dalam satu majlis yang cukup bermakna ini.
“Semoga majlis ini bukan sekadar menjadi sesi berbuka puasa bersama, tetapi juga sebagai satu pengalaman yang menggembirakan dan memberi kenangan manis kepada anak-anak yang hadir,” tambah beliau.
Majlis berbuka puasa memang acara signature tahunan PJKAYS semenjak penubuhannya pada April 2019.
Fairrul mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan kolaborasi dan penajaan kali ini yang terdiri dari syarikat Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd (BDNC) untuk di Kota Kinabalu dan Encik Kenny Ngalin dari Ocean Vantage Holdings Berhad serta Kol Haji Herman Bombang untuk yang di Ar-Raudhoh, Tawau.