Peter hanya memohon semakan kehakiman, bukan pengampunan diraja – KDM

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memaklumkan yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony tiada memohon pengampunan diraja seperti yang dilaporkan sebuah portal berita tempatan.

Setiausaha Agungnya, Willie Jude Junaidi berkata, Peter setakat ini hanya memfailkan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan hukuman terhadapnya pada 4 Mac lalu.

Katanya, semakan kehakiman itu telah difailkan minggu lalu manakala pengurusan kes telah tetapkan dalam tempoh terdekat ini.

“Laporan mengatakan Peter telah memohon pengampunan diraja seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan yang memetik Speaker DUN (Datuk Seri Kadzim M Yahya) tidak tepat.

“Peter setakat ini hanya memfailkan semakan kehakiman dan belum sampai ke tahap itu (memohon pengampunan diraja), ramai yang bertanya kepada saya dan oleh sebab itu penjelasan perlu diberikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu pada 4 Mac lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap Peter atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Willie berkata, pihak parti juga telah menghantar notis kepada Speaker DUN Sabah berhubung permohonan semakan kehakiman itu.

Katanya, notis itu telah dihantar dalam tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan Speaker DUN Sabah sebelum ini.

“Kita telah menghantar notis itu kepada pihak DUN dalam tempoh ditetapkan dan kini terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” katanya.

Pada 5 Mac lalu, Speaker DUN Sabah berkata, Peter Anthony mempunyai masa selama 14 hari untuk menggunakan saluran perundangan (legal avenue) sebelum kerusinya bakal dikosongkan secara automatik.

“Bagi pihak parti, kami mendoakan yang terbaik buat Datuk Peter dan berharap keputusan semakan kehakiman itu nanti akan berpihak kepada beliau,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles