Bantuan Pekerjaan Bagi OKU

KINABATANGAN – Jelajah Iftar 2025 tajaan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah hari ini diteruskan ke Kinabatangan, iaitu kawasan Parlimen ke-21 jelajah ini, yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri Kuamut, Lamag dan Sukau.

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, suasana majlis berbuka puasa di kawasan Parlimen Kinabatangan amat meriah dengan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh para pemimpin tempatan.

“Seperti yang disebut oleh YAB Ketua Menteri, UPPM memainkan peranan penting dalam membantu rakyat. Di bawah kepimpinan Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin, UPPM amat progresif dan benar-benar turun padang untuk menjaga kebajikan masyarakat,” kata Datuk Dexter.

Tambah beliau, KTC tidak ragu-ragu untuk bekerjasama dengan UPPM kerana segala bantuan yang disalurkan akan terus sampai ke peringkat akar umbi dan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

Datuk Dexter turut menyentuh mengenai program Shopping Raya yang berlangsung pada sebelah petang. Menurut beliau, ramai anak-anak kurang bernasib baik termasuk asnaf, anak yatim dan golongan OKU turut diraikan dalam program tersebut.

“Syabas kepada barisan kepimpinan tempatan kerana memastikan golongan ini tidak terpinggir. Saya berasa gembira kerana sumbangan daripada KTC benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan. Terima kasih kepada Pengarah UPPM dan para Pegawai PPM atas pelaksanaan program ini,” katanya.

Datuk Dexter juga menegaskan bahawa KTC sentiasa komited untuk merekrut individu terbaik dalam pasaran kerja, pada masa yang sama membuka peluang kepada orang ramai, termasuk golongan OKU, untuk berkembang dan membina masa depan yang lebih baik.

Majlis berbuka puasa ini diadakan di Dewan Sri Lamag, Kinabatangan, dan lebih 700 orang hadir.

Seramai 125 penerima menerima sumbangan bakul makanan, manakala 40 penerima menerima sumbangan khas daripada Sabah Softwoods Berhad dan UPPM. Antara penerima termasuk 10 orang asnaf dari kawasan Lamag, 10 orang OKU dari Lamag, 10 ibu tunggal dari Lamag, dan 10 ibu tunggal dan asnaf dari kawasan Sukau.

Turut hadir memeriahkan program ialah Pengarah UPPM Sabah, Datuk Awang Kadin; PPM Lamag, Johainizamshah Johari; PPM Sukau, Juslee Arpaih; wakil ADUN Kuamut, Kamrin Satah; pemimpin tempatan serta wakil KTC dan pegawai-pegawai UPPM.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles