SUKAU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, menggesa kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah agar mengambil serius isu jalan raya yang semakin teruk di negeri ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, beliau sendiri turun padang untuk meninjau keadaan jalan raya yang menghubungkan Tawau, Sandakan, dan Kota Kinabalu, dan mendapati keadaannya amat membimbangkan.
“Saya terkejut melihat keadaan jalan raya yang sangat teruk, dengan dianggarkan 30 hingga 40 peratus rosak. Lubang terdapat di merata tempat, ada yang cukup dalam hingga boleh menyebabkan rim kenderaan pecah. Ini sangat berbahaya, terutamanya apabila pemandu cuba mengelak lubang secara tiba-tiba pada kelajuan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf di Masjid Kampung Bilit dan Masjid Tun Juhar di Sukau, pada Khamis.
Menurut Bung Moktar, keadaan jalan raya di Sabah kini berada dalam tahap kritikal dan boleh mengancam keselamatan rakyat.
“Jalan berlubang di merata tempat, banyak yang rosak dan runtuh… Sekarang hampir tiba Hari Raya Aidilfitri, tapi yang kelihatan hanya kontraktor menebang pokok kelapa sawit dan menolak tanah di tepi jalan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo. Namun, jalan sedia ada terus diabaikan, menyusahkan rakyat,” tegasnya.
Beliau turut membandingkan keadaan semasa dengan ketika UMNO dan Barisan Nasional memerintah Sabah dahulu.
“Zaman kita memerintah, kontraktor sudah sedia untuk menampal jalan dengan segera. Sekarang saya lihat kerja pembaikan sangat lambat, malah ada lubang besar seperti kolam di jalan utama, terutama di laluan Lahad Datu-Sandakan-Telupid,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Bung Moktar enggan mengulas panjang mengenai kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, yang menurutnya hanya bertujuan mengalihkan perhatian daripada kelemahan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Tidak perlu bercakap soal kepercayaan,beliau ini pernah lompat parti beberapa kali, pernah ditahan di bawah ISA, saya tidak mahu layan orang seperti ini,” katanya.
Menurut beliau, rakyat berhak menentukan kerajaan yang benar-benar mampu membela nasib mereka dan bukan hanya menyalahkan kerajaan terdahulu.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi, kerajaan GRS adalah kerajaan paling gagal dalam sejarah,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Setiausaha UMNO Sabah yang juga ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin.