SANDAKAN – Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dan UPPM Sabah terus melaksanakan Jelajah Iftar Hari ke-13, kini berada di lokasi ke-20, Sandakan. Hari ini, dua sesi Shopping Raya telah diadakan melibatkan sejumlah 150 kanak-kanak dari kawasan Parlimen Sandakan, Beluran, dan Libaran.
Sebanyak 100 kanak-kanak dari kawasan Parlimen Sandakan dan Beluran telah dibawa untuk membeli-belah baju Raya di Servay Hypermarket Batu 8 pada waktu pagi. Turut hadir dalam sesi ini adalah isteri YB Datuk Samad Jambri, Datin Rosminah Arman, serta Datin Noorolaina Abdul Rahman, isteri kepada YB Datuk Jaffari Walliam, ADUN Lantikan.
Pada waktu petang, 50 kanak-kanak dari kawasan Parlimen Libaran dibawa untuk sesi membeli-belah di Servay Kim Fung, Sandakan. Setiap kanak-kanak menerima RM200 untuk membeli pakaian Raya.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, kali ini merupakan tahun kedua KTC mengadakan Shopping Raya di Sandakan.
“Kami sebagai syarikat swasta memainkan peranan dalam membantu mereka yang memerlukan, kerana semua yang kita peroleh datang dari masyarakat. Kami tidak membezakan bangsa dalam memberikan sumbangan,” kata beliau.
Beliau juga menekankan pentingnya memberi penghargaan dan rasa hormat kepada penerima sumbangan.
“Walaupun seseorang itu mungkin dalam keadaan yang sukar, mereka tetap berhak dihormati. Kami percaya bahawa memberi bantuan dengan rasa hormat dan penuh kemanusiaan adalah nilai yang penting,” tambah Datuk Dexter.
Beliau berkata, adalah penting untuk meningkatkan keyakinan diri dan harga diri kanak-kanak, di mana mereka akan merasa dihargai dan lebih percaya pada diri sendiri. Dengan keyakinan tinggi, diharapkan mereka dapat menghadapi cabaran kehidupan, menjadi individu yang berdaya saing apabila dewasa kelak, lalu meninggalkan kitaran kemiskinan.
Senator YB Anna Belle yang turut hadir juga menyampaikan penghargaan kepada pihak KTC yang menaja 50 kanak-kanak dari kawasan Libaran yang dikenalpasti sebagai keluarga yang memerlukan.
“Melalui inisiatif ini, kanak-kanak dari keluarga yang memerlukan dapat merasai kegembiraan dan kemeriahan Hari Raya,” kata Anna Belle.
Beliau juga menyatakan bahawa sumbangan daripada syarikat swasta seperti KTC amat penting dalam membantu mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Pemimpin tempatan, Datuk Amirshah Yaakub, mengucapkan terima kasih kepada KTC atas sokongan berterusan mereka terhadap masyarakat di Sandakan.
“KTC harus dijadikan contoh kepada syarikat-syarikat lain untuk turut prihatin terhadap rakyat. Kerajaan yang stabil pada masa kini membolehkan lebih banyak syarikat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Turut hadir termasuk Pengarah UPPM Sabah Datuk Awang Kadin hadir, isteri Datuk Dexter Lau, Datin Yee Tsai Siew, pemimpin tempatan, wakil KTC dan pegawai UPPM.