Kerajaan GRS masih gagal selesaikan masalah asas rakyat

Kenyataan Media Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin

KOTA KINABALU: Saya mengambil maklum kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang mempertahankan pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan yang berjaya.

Namun, realiti di lapangan membuktikan sebaliknya.

Rakyat Sabah terus berdepan dengan pelbagai masalah asas yang masih tidak selesai, dan inilah kegagalan sebenar kerajaan hari ini.

Kalau benar kerajaan GRS ini berjaya seperti yang didakwa, mengapa masih ramai rakyat Sabah mengalami kesukaran mendapatkan bekalan air bersih?

Mengapa sehingga ke hari ini, pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan, masih banyak kawasan mengalami gangguan air?

Ini bukan dakwaan kosong, tetapi hakikat yang rakyat sendiri alami setiap hari.

Begitu juga dengan masalah bekalan elektrik yang kerap terputus.

Di Sabah hari ini,masalah elektrik sudah menjadi kebiasaan.

Jika sehari tidak mengalami gangguan bekalan, itu sudah dianggap luar biasa.

Sampai bila rakyat perlu bertahan dengan keadaan ini?

Selain itu, keadaan jalan raya di Sabah terus menjadi rungutan rakyat.

Daripada jalan kampung hingga ke lebuh raya utama lubang sana sini yang boleh rosakkan kereta dan sebabkan kemalangan, infrastrukturnya masih jauh ketinggalan.

Bagaimana kerajaan boleh mendakwa mereka mentadbir dengan baik jika isu asas seperti ini pun masih gagal diselesaikan?

Soal ekonomi dan pekerjaan juga perlu diberi perhatian,ramai rakyat Sabah masih terpaksa berhijrah ke Semenanjung atau luar negara kerana kekurangan peluang pekerjaan yang berkualiti di negeri sendiri.

Kos sara hidup terus meningkat, tetapi tidak ada pelan konkrit daripada kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat.

Adakah semua ini mahu dinafikan? Adakah rakyat yang bersuara mengenai kesusahan mereka mahu dianggap sebagai penyebar fitnah?

Rakyat Sabah tidak buta dan tidak tuli. Mereka sendiri yang merasai kesan daripada kegagalan pentadbiran kerajaan negeri hari ini.

Jika kerajaan GRS benar-benar berfungsi dengan baik, sepatutnya rakyat merasai kemajuan itu, bukan sekadar mendengar angka dan laporan pencapaian di atas kertas.

Kita perlu jujur dengan rakyat,jangan hanya bercakap soal kejayaan atas pentas politik sedangkan rakyat di bawah terus berdepan kesusahan setiap hari.

Justeru, biarlah rakyat Sabah yang menilai sendiri,pilihan raya akan datang adalah peluang untuk rakyat membuat keputusan sama ada mahu terus memberi mandat kepada kerajaan yang ada atau memilih perubahan untuk masa depan yang lebih baik.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles