KOTA KINABALU: Sebanyak 25 pelajar Tahfiz al-Quran As-Syatibiyah, Masjid SDA Bandar dirai pada majlis berbuka puasa anjuran Gagasan Rakyat Likas di SICC semalam.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Mohammad Bahrin Abdul Karim berkata, program tahunan setiap kali menjelang bulan Ramadan itu diadakan bagi menceriakan golongan pelajar terbabit khususnya ketika menjalani ibadah puasa.
Katanya, inisiatif berkenaan juga merupakan sebahagian daripada aktiviti bagi tujuan mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat setempat sejajar dengan tuntutan pada bulan yang penuh berkat ini.
“Selain itu, kita juga menyampaikan sedikit sumbangan duit raya yang diharapkan dapat menceriakan mereka serta meringankan beban bagi membuat persiapan menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi.
“Kita harapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa supaya jalinan ukhwah dengan golongan sasar dapat terus dieratkan. Apa lagi golongan pelajar ini merupakan pelapis kepimpinan masa depan serta bakal menyumbang bakti semula kepada masyarakat selepas tamat pengajian kelak,” katanya.
Turut hadir pada program itu Timbalan Ketua Bahagian PGRS Likas, Muammar Julkarnain, Naib Ketua Bahagian, Dr Awang Faisyal Asyiffa Ag Rahim, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din, Ketua Pemuda Syahmee Mohd Ron, Ketua Beliawanis, Noor Azee Ashikeen Asngari serta jawatankuasa Gagasan Rakyat Likas.