Shopping Raya Meriah di Beaufort: Jelajah Iftar KTC, UPPM Sabah Rai 100 Kanak-Kanak

BEAUFORT – Jelajah Iftar 2025 anjuran Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, yang diketuai oleh Pengarah Eksekutif Datuk Dexter Lau, bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, hari ini meneruskan ke destinasi ke-8, Beaufort.

Sempena jelajah ini, program Shopping Raya telah diadakan di pasar raya Servay Jaya Beaufort petang tadi, bagi meraikan seramai 100 orang kanak-kanak dari kawasan Kimanis dan Sipitang. Program ini bertujuan menyemarakkan kegembiraan menjelang Hari Raya Aidilfitri, khususnya untuk golongan yang memerlukan.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Sipitang, YB Datuk Matbali Musah.

Semasa ditemui pemberita, Datuk Matbali berkata, program menyantuni kanak-kanak ini sangat bermakna, terutama dalam menyambut Aidilfitri. Walaupun kawasan ini masih lagi terjejas dengan banjir, namun kanak-kanak dan penduduk di sini kelihatan gembira dan penuh semangat kerana mendapat baju Raya yang baharu.

Beliau berterima kasih kepada KTC, Datuk Dexter Lau, dan Awang Kadin atas sumbangan ini dan berharap usaha seperti ini dapat diteruskan oleh Datuk Dexter dan UPPM pada tahun hadapan.

Manakala Datuk Dexter Lau berkata, beliau amat gembira berada di Beaufort untuk program Shopping Raya ini.

“Walaupun cuaca hujan, saya sedikit bimbang memikirkan keadaan penduduk yang baru sahaja dilanda banjir minggu lalu. Saya berharap pihak berkuasa telah berusaha untuk membantu rakyat yang terjejas. Di sini, saya berpeluang untuk bertemu ramai orang di pasar raya dan berbual dengan banyak individu dari pelbagai lapisan masyarakat. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kepimpinan Beaufort yang telah bekerjasama untuk membersihkan rumah-rumah yang terjejas akibat banjir,” kata Dexter.

“Sebagai pihak swasta, peranan kami mungkin kecil, tetapi kami berusaha memberikan sumbangan secara berkala untuk meringankan beban mereka,” ujar beliau.

Datuk Dexter berharap, dengan sumbangan yang diberikan, ia dapat memberi semangat kepada masyarakat dan pemimpin tempatan, bahawa mereka tidak keseorangan.

“Saya merasakan semangat yang tinggi di sini, terutama dalam sambutan Hari Raya ini. Seperti yang disebut oleh Datuk Matbali, kami tidak akan melupakan mereka yang memerlukan. Saya akan terus membantu sejauh mana saya mampu,” tambah beliau.

Datuk Dexter juga berkata, sekiranya terdapat kerajaan baharu yang dipilih nanti, KTC sentiasa bersedia untuk memberi bantuan dan terus memberikan sokongan kepada masyarakat Sabah.

Kanak-kanak yang terpilih menerima tajaan membeli-belah bernilai RM200 setiap seorang, bagi memilih pakaian dan kelengkapan baharu sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles