Jabatan Bahasa Kadazandusun IPG Kent anjur program Seri Tamparuli

TUARAN: Jabatan Bahasa Kadazandusun, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kent telah mengadakan Program Seri Tamparuli; Menyuluh Tradisi, Menerangi Warisan, yang disertai pelajar PPISMP BKD Ambilan Ogos 2024.

Program anjuran Jabatan Bahasa Kadazandusun IPGM Kampus Kent, diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar PPISMP BKD Ambilan Ogos 2024 untuk mengalami sendiri suasana tamu tradisional dan keunikan warisan budaya yang terdapat di Tamparuli.

Program itu diketuai oleh Dr. Rosie Johnny, mentor kepada kelas BKD Ambilan Ogos 2024/2029.

Beliau melahirkan rasa bangga dengan hasil program tersebut dan berharap agar program seumpama itu dapat dianjurkan pada masa hadapan kerana ia memberikan banyak manfaat dan ilmu kepada peserta.

Semasa program para pelajar juga telah berpeluang untuk menemu bual Encik Gaibin Lansoi iaitu salah seorang warga penduduk Tamparuli dan juga merupakan Pengerusi Persatuan Pertanian dan Penternak Bumiputera Sabah (PETANA).

Persatuan ini ditubuhkan 10 tahun lalu tetapi mula aktif pada tahun lepas.
PETANA memainkan peranan penting dalam lima aspek utama iaitu kebudayaan, kebajikan, ekonomi, pendidikan, serta aktiviti tahunan.

Dalam aspek kebudayaan, setiap hari Rabu mereka menganjurkan tamu yang diiringi alunan gong dan tarian tradisional bagi memelihara seni budaya tempatan. Walaupun tiada bayaran dikenakan, sumbangan boleh diberikan melalui tabung khas yang

Dari segi kebajikan pula, hasil jualan yang diperoleh digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan. Dalam bidang ekonomi, PETANA memasarkan produk hasil pertanian tempatan menerusi tamu sebagai usaha meningkatkan taraf ekonomi komuniti setempat.

Selain itu, PETANA turut menyumbangkan dana kepada anak muda yang ingin melanjutkan pelajaran bagi meringankan beban kewangan mereka. Sebagai aktiviti tahunan, PETANA menganjurkan Tamu Tamparuli secara besar-besaran sekali setahun untuk menjana pendapatan tambahan.

Selepas itu, para pelajar pun meneruskan program mereka dangan  melawat Jambatan Tamparuli, salah satu mercu tanda terkenal daerah ini. Di sana, peserta disambut oleh Persatuan Seni Budaya Tuaran (PESTA) yang mempersembahkan permainan alat muzik tradisional serta tarian Sumazau.

Sebelum memulakan persembahan, mereka turut berkongsi sejarah Jambatan Tamparuli, yang dikaitkan dengan kisah pengorbanan seorang wanita demi memastikan jambatan itu tetap kukuh, seiring dengan kepercayaan nenek moyang terhadap semangat air. Sehingga kini, jambatan tersebut masih berdiri teguh dan terus digunakan oleh masyarakat setempat.
Secara keseluruhannya, Program Seri Tamparuli telah memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada para peserta dalam memahami budaya dan warisan masyarakat setempat.

Encik John Bin Gitom, Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun menyatakan bahawa program seperti ini bukan sahaja membuka mata pelajar tentang kepentingan melestarikan tradisi, tetapi juga memberikan pendedahan kepada mereka mengenai usaha komuniti dalam memastikan kesinambungan budaya terus terpelihara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles