Adakah ini masa yang tepat bagi parti politik tempatan untuk menentukan masa depan Sabah ?

Oleh Aktivis Sosial Gundohing Salman Nurillah

Advertisements

KOTA KINABALU: Sabah telah mencapai kemerdekaan lebih daripada enam dekad dengan status sebagai satu wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia pada Tahun 1963.

Dengan umur yang sebegini matang Sabah sepatutnya tidak berada dalam kumpulan negeri yang termiskin di Malaysia.

Dengan kekayaan sumber alam yang melimpah seperti Minyak, Gas, Kayu Balak, Kelapa Sawit, Koko, Getah, Hasil Laut, Emas, Tembaga dan lain lain Sabah tidak sepatutnya masih lagi menghadapi masalah bekalan elektrik, air dan kemudahan asas lain seperti jalanraya.

Walau bagaimanapun, keadaan ini masih lagi menghantui majoriti rakyat Sabah walaupun kerajaan negeri sudah ditadbir silih berganti oleh sepuluh orang Perdana Menteri Malaysia.

Setelah tiga parti tempatan Sabah memerintah Sabah Usno, BERJAYA dan Parti Bersatu Sabah (PBS), pada pandangan saya Malaya sentiasa cuba untuk mengamalkan Dasar Pecah dan Perintah bagi memastikan Malaya terus menjadikan Sabah dalam genggaman mereka dalam usaha mengaut hasil bumi Sabah tetapi mengabaikan pembangunan Sabah sebagai Wilayah yang sepatutnya setara dengan kemajuan negeri negeri di Semenanjung Malaysia.  

Pemimpin-pemimpin Malaya silih berganti melawat Sabah bukan untuk melihat apa yang perlu diperbaiki tetapi datang hanya untuk menabur janji agar mereka terus memimpin Sabah mengikut acuan mereka.

Sikap pemimpin Malaya yang cuba menjadikan pemimpin Sabah sebagai budak suruhan dan memastikan masa depan politik mereka punah jika tidak mengikut telunjuk mereka.

Sindrom inginkan perubahan dan muak dengan sajian sandiwara politik Malaya, rakyat mula merasakan bahawa hanya parti tempatan Sabah sahaja yang tidak mempunyai ikatan dengan Parti Malaya mampu mentadbir dan memerintah Sabah dengan lebih baik.

Beberapa pemimpin politik juga merasakan bahawa rakyat Sabah perlu bangkit dari lena yang panjang untuk tidak lagi memilih parti Malaya atau parti tempatan yang masih lagi menjadi bahan bulian parti Malaya.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat Sim Fui sebagai contoh telah membidas parti parti Malaya dan juga parti tempatan yang terus bersekongkol dengan parti Malaya untuk memerintah Sabah, tetapi mengabaikan tanggunjawab untuk memajukan Sabah agar tidak lagi dianggap negeri termiskin

Dengan kenyataan tegas Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Hj Mohd Shafie Hj Apdal bahawa parti itu akan bergerak solo dalam mengahadapi PRN 17 nanti, ini seharusnya menjadi titik tolak atau sebagai “wake up call” kepada rakyat dan seluruh pemimpin Sabah untuk menyokong Parti Tempatan dalam memastikan hanya parti tempatan yang tidak bersekongkol dengan parti Malaya dapat mentadbir Sabah tanpa gangguan Malaya.

Keadaan ini juga telah dibuktikan oleh Sarawak bahawa hanya dengan menyokong parti tempatan pentadbiran negeri itu dapat dilaksanakan mengikut acuan sendiri.

Perkembangan tersebut perlu menjadi pemangkin kepada rakyat Sabah untuk mengubah nasib dan rakyat negeri ini agar tidak lagi diabaikan selama lebih 60 tahun dan masih lagi dianggap sebagai negeri mundur yang menyebabkan belia negeri ini terpaksa berhijrah ke Semenanjung untuk mencari pekerjaan sesuai dengan kelulusan dan kelayakan mereka.

Rakyat Sabah telah merasai berdekad-dekad menyokong parti nasional, faktanya, apa yang diharapkan untuk dirasai menjadi mimpi ngeri, kerana kemudahan asas pun tidak dapat disediakan dengan sempurna.
Kerana mentaliti tiada keinginan agar rakyat negeri menikmati kemudahan asas yang diperlukan sebagai rakyat merdeka, maka pemimpin negeri yang diberi tanggungjawab menyelesaikan masalah kemudahan asas dengan peruntukan berbilion ringgit suatu ketika lalu, sementara peruntukan habis, akan tetapi tidak membawa apa-apa perubahan di lapangan, dan ianya dirasai sehingga sekarang.

Mengapa keadaan demikian berlaku, tujuannya agar rakyat sentiasa mengharap dan mengharap mimpi menjadi kenyataan sedangkan hakikatnya ianya harapan yang tak kunjung tiba.

Kita juga terus didendangkan dengan janji manis yang mengatakan bahawa jika mereka diberi peluang mereka memastikan tidak ada lagi kemiskinan, kemunduran dan masalah kemudahan asas yang menjadi topik dan masalah utama yang dihadapi oleh rakyat Sabah selama ini.

Sejak Parti Malaya memerintah Sabah secara langsung 30 tahun lalu melalui BN (Umno dan sekutunya), Sabah mempunyai 7 Ketua Menteri yang direstui oleh pemimpin Malaya.

Oleh itu pada hemat saya, Rakyat Sabah harus bangun dan sedar dengan keadaan ini, kita harus bersama-sama berjuang demi masa depan kita…kita tidak boleh selamanya hanya bergantung kepada parti Malaya yang tidak serius dalam memperjuangkan hak Sabah.

Ini bertepatan dengan pandangan saya bahawa saya amat menyokong keputusan Presiden Parti Warisan untuk bertanding solo dalam menghadapi PRN 17 yang akan datang.

Rakyat Sabah juga perlu melihat dan belajar daripada Sejarah bahawa Sabah pernah diperintah oleh Parti Tempatan di zaman Usno, BERJAYA dan PBS. Pemimpin Sabah pula perlu bersatu agar Malaya tidak lagi mengamalkan konsep Pecah dan Perintah yang hanya menguntungkan Malaya dan segelintir pemimpin Sabah.

Untuk mencapai hasrat ini semua pihak perlu mengambil tanggungjawab bukan sahaja pemimpin tetapi rakyat secara keseluruhan perlu melihat tindakan Warisan itu sebagai tepat pada waktunya jika kita betul-betul inginkan perubahan dan autonomi yang sebenarnya dan bukan sekadar retorik.

Walau bagaimanapun, seperti yang kita sedia maklum, politik adalah dinamik dan segalanya adalah berkemungkinan untuk berlaku seperti mana keadaan yang terjadi antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional setelah PRU 15 yang lalu.

Selagi mana pemimpin menempatkan kepentingan Sabah dan rakyatnya melebihi kepentingan lain, saya yakin sebarang keputusan setelah PRN 17 berakhir adalah yang terbaik demi perubahan yang kita semua idamkan agar Sabah benar benar Maju Jaya bukan sekadar slogan semata.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles