TONGOD: Pemangku Ketua Wanita PERPADUAN Sabah, Puan Scholastica Taraji menzahirkan rasa kecewa kerana masalah air di DUN Kuamut/Tongod tidak tersenarai sebagai antara 18 projek keutamaan yang diluluskan oleh kerajaan Madani.
Sambil menyambut baik usaha kerajaan Sabah menaiktaraf saluran air yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan menerusi pinjaman mudah RM320 juta, beliau berharap kawasan Kuamut/Tongod dapat menerima manfaat daripada peruntukan itu.
“Parti PERPADUAN Tongod sedikit kecewa kerana usaha meningkatkan produktiviti penyaluran air terawat di Kawasan Tongod Kuamut tidak tersenarai dalam 18 projek yang diberi keutamaan.
“Keperluan air terawat ini sangat mendesak untuk seluruh agensi Kerajaan di mana sekolah-sekolah di Tongod mengalami kesulitan air, rakyat selama ini hanya berdiam diri kerana tidak ada yang mereka boleh lakukan dengan kekurangan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Scholastica berkata parti PERPADUAN Tongod memandang serius perkara itu dan merayu agar kerajaan Madani mengambil perhatian masalah air di daerah Tongod.
“Rakyat Tongod Kuamut amnya sudah lama menunggu pembekalan air terawat tersebut, sejak terbinanya tangki air yang segak gagah berdiri namun tidak berfungsi malah batang paip saluran paip tangki pun tidak ada di kawasan Kuamut.
“Ini hanya menjadi gajah putih menyakitkan hati rakyat Kuamut. Kami sudah lama menanti penyaluran air bersih sejak merdeka dan kita harap kerajaan Madani menerusi program Sabah Maju Jaya tidak menganaktirikan daerah Tongod, khususnya Kuamut,” katanya.
Menurutnya kerajaan Sabah sepatutnya memohon lebih banyak peruntukan dari kerajaan pusat untuk meningkatkan infrastruktur di 25 daerah di kawasan pendalaman Sabah.
“Rakyat Kuamut Tongod ini hanya mengharapkan air hujan setiap hari dan lebih-lebih lagi kawasan Tongod sekarang dilanda banjir yang sudah tentunya air sungai tidak boleh diguna sebagai kegunaan harian.
“PERPADUAN memandang serius perkara ini dan meminta kerajaan Sabah menyalurkan bantuan air bersih kepada kampung-kampung yang terlibat bencana banjir,” katanya.