KENINGAU : Sabah perlu mewujudkan Institusi Latihan Pertanian Pintar sebagai salah satu inisiatif untuk melahirkan lebih ramai petani berinovasi pada masa depan.
Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Keningau Edwin Laimin berkata, langkah ini sekali gus mampu meningkatkan tahap keterjaminan makanan khususnya di Sabah.
Katanya, kerajaan Sabah perlu mewujudkan institusi ini agar dapat mengalakkan lebih ramai masyarakat bertani secara moden.
“Ini secara tidak langsung memberi dorongan kepada golongan belia untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian khususnya di Sabah.
“Statistik menunjukkan seramai 167,300 graduan direkodkan sebagai ‘penganggur’ pada tahun 2023 manakala 46,600 adalah belia Sabah berumur antara 20 hingga 24 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Edwin merupakan Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata, beliau menyatakan hasrat ini berikutan wujudnya kebimbangan terhadap kadar jumlah pengangguran di Sabah.
“Sabah mencatatkan kadar pengangguran tertinggi di Malaysia bagi suku keempat 2024.
“Ini menunjukkan ramai graduan yang masih bercelaru atau tiada ketentuan mengenai soal kerjaya mereka,” jelas Edwin.
Menurutnya, kerajaan perlu mengambil inisiatif secara tuntas mengenai keperluan belia menceburkan diri dalam bidang pertanian pintar khususnya di Sabah.
“Ini memandangkan ramai dalam kalangan mereka yang tidak mahu terlibat dalam industri ini disebabkan tanggapan tentang pertanian yang masih ‘kolot’ dan tradisional.
“Mereka masih belum mendapat pendedahan sewajarnya berkaitan pertanian pintar seperti penggunaan teknologi sensor, dron, sistem pengairan automatik dan perisian pengurusan ladang,” kata Edwin.
Beliau menambah, apa yang mereka faham bertani adalah berpanas di bawah matahari, pekerjaan sangat memenatkan serta kotor.
“Kita mahu penubuhan institusi ini akan dapat meningkatkan kemahiran serta pengetahuan masyarakat dalam bidang pertanian moden di samping menjadi pusat penyelidikan dan pengembangan teknologi pertanian.
“Secara tidak langsung, tahap keselamatan makanan di negeri ini akan lebih terjamin melalui penggunaan teknologi yang tepat dan juga tenaga kerja yang benar-benar mahir dalam menghasilkan produk lebih berkualiti,” tambahnya.