SIPITANG: Kerajaan Negeri dibawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH) Plus mampu bertahan lama bagi meneruskan agenda pembangunan negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, kerajaan negeri ketika ini berada di landasan yang betul dalam meningkatkan hasil dan ekonomi negeri ini.
Katanya, selain itu kebajikan rakyat terus diutamakan dengan yang terbaru melaksanakan Program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 (SUKUR) dengan menyediakan bantuan tunai RM300 setiap bulan kepada yang penerima yang lain sehingga 31 Disember 2025.
“Percayalah Kerajan Negeri sekarang GRS-PH PLus akan bertahan lama dan rakyat bijak berfikir yang mana boleh meneruskan kemajuan Sabah,” katanya pada Program Jelajah Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Mendulong, semalam.
Program ini dilaksanakan selama empat hari sejak 25 Februari lepas bermula di Kampung Long Pasia diikuti Long Mio, Pa Kemadang, Iburu, Meligan, Meligan, Ulu Bole, Lumampau dan lokasi terakhir semalam di Bamban dan Mendulong.
Ia diselaraskan oleh Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sindumin diketuai Ketuanya Walter@Fikri Antahar.
Pada program itu, selain menyantuni penduduk kampung, Dr Yusof turut meninjau prasarana yang ada dan rosak yang memerlukan pembaikan terutama jambatan gantung, jalan kampung dan rumah penduduk kampung.
Beliau turut menziarahi penduduk kampung yang sakit.
Dr Yusof yang juga Ketua Bahagian PGRS Sindumin yakin rakyat di kawasan itu bijak menilai mana parti yang mampu terus memperjuangkan mereka.
Dalam pada itu, pada program tersebut, beliau menekankan penduduk di kawasan Ulu Padas untuk terlibat dalam aktiviti pertanian bagi menjana pendapatan khususnya penanaman padi, kopi, sayur-sayuran dan buah-buahan antaranya nanas.
Ini kerana, katanya, kawasan Ulu Padas ini mempunyai tanah yang subur untuk aktiviti pertanian.
Menurutnya, ini juga akan dapat menampung permintaan mereka yang bekerja dan menetap di Sipitang menerusi pembangunan yang akan berlaku di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
“Warga Sipitang perlu bersedia dan merebut peluang yang wujud dengan kemasukan beberapa projek berasaskan minyak dan gas di SOGIP yang akan bermula tidak lama lagi,” kata Dr Yusof.