KARAMUNTING: Gelanggang futsal Kampung Karamunting kini dinaik taraf bagi memberikan kemudahan lebih baik kepada masyarakat setempat, khususnya golongan belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata, inisiatif naik taraf itu melibatkan pembinaan dinding dan kerja-kerja mencantikkan gelanggang, manakala Ahli Parlimen Batu Sapi turut menyumbang dengan menambah sebuah bumbung bagi keselesaan pemain.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pertandingan futsal terbuka DUN Karamunting yang berlangsung di gelanggang berkenaan.
“Saya berharap gelanggang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan belia dan dijaga dengan baik, termasuk memastikan kebersihannya sentiasa terpelihara.
“Kita mahu melihat lebih ramai belia terlibat dalam aktiviti sukan kerana ia bukan sahaja menyihatkan, tetapi juga dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dalam gejala sosial yang tidak sihat,” katanya.
Beliau turut menggalakkan penduduk setempat untuk menggunakan kemudahan yang disediakan dan bersama-sama menjaga gelanggang itu agar terus berada dalam keadaan terbaik untuk kegunaan semua.