26 Feb 2025
KOTA KINABALU: Sabah menjadi contoh terbaik (role model) perpaduan kaum dan keharmonian beragama yang berpaksi kepada semangat Malaysia MADANI, kata Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Hj Sapawi Hj Ahmad.
Menurutnya, semangat toleransi yang tinggi menjadi resipi penting yang memperkukuhkan ikatan kekeluargaan rakyat berbilang kaum di negeri ini.
“Inilah yang menjadikan Sabah sebagai contoh terbaik keharmonian kaum, seiring perpaduan yang menjadi teras Malaysia MADANI,” katanya ditemui media selepas sambutan Ambang Ramadan di Ibu Pejabat USIA di sini hari ini.
Sempena program itu diadakan forum Ambang Ramadan yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Sabah, Ustas Abd Razak Hamdin.
Kira-kira 100 ahli USIA menghadiri program berkenaan. Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Setiausaha Agung USIA, Iman Ali serta pemimpin tertinggi USIA.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan Jemaah Menteri baru-baru ini yang menolak cadangan seorang Ahli Parlimen blok kerajaan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecah kepada dua.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berhubung perkara itu.
Sapawi menyifatkan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri itu sebagai amat wajar dan bertepatan bagi mengelak sebarang perselisihan faham.
“Ini adalah langkah terbaik dan USIA sependapat dengan Perdana Menteri bahawa platform yang ada sekarang ini adalah memadai.
“Selain menteri agama dan menteri perpaduan, kerajaan juga ada mewujudkan jawatankuasa harmoni yang diwakil oleh semua kaum dan agama,” katanya.