SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Haji Nasir telah mencadangkan kepada Menteri Perpaduan Negara , Datuk Aaron Ago anak Dagang agar meningkatkan nilai Geran Rukun Tetangga kepada RM10 ribu.
“Nilai Geran Rukun Tetangga kini, sebanyak RM6 ribu yang diterima setiap tahun oleh setiap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) adalah tidak mencukupi bagi melaksanakan program-program rukun tetangga,” jelasnya di Dewan Rakyat, kelmarin.
Aaron ketika menjawab pertanyaan terbabit, mengakui jumlah peruntukan ini tidak mencukupi bagi memastikan KRT memainkan peranan dengan lebih baik.
“Sebanyak 8,529 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang telah ditubuhkan seluruh negara dengan keanggotaan Ahli Jawatankuasa (AJK) seramai 2,210 orang,” katanya.
Aaron memberitahu dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri turut menyatakan bahawa Rukun Tetangga akan diperkasa sebagai penggerak dan pengantara penting dalam penganjuran program-program komuniti kesukarelawan dan kenegaraan pada peringkat akar umbi.
“Justeru bagi memterjemahkan inisiatif ini,kerangka memperkasakan rukun tetangga sebagai penggerak komuniti progresif telah dibangunkan dan disusun selaras dengan dasar keperluan negara dan lapan bidang tumpuan utama ditetapkan bagi mencapai matlamat komuniti progresif.
“Iaitu ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, kepimpinan dan kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alat sekitar, warisan dan budaya dan akhir sekali daya cipta,” katanya.
Aaron berkata permohonan untuk meningkatkan jumlah Geran Rukun Tetangga telah pun dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan peruntukan tambahan sebanyak RM 20 juta pada tahun 2024 dan RM 20 juta pada tahun ini diluluskan dibawah Kementerian Kewangan untuk inisiatif KRT Progresif.
Beliau berkata sebanyak 152 KRT Progresif telah diperkasakan sebagai KRT Progresif yang berupaya membangunan komuniti mampan dan progresif bagi tahun 2024..
Pada tahun ini, Aaron berkata pihaknya disasarkan sekurang-kurangnya 300 KRT progresif akan dipilih untuk diperkasa sebagai KRT Progresif dengan penilaian terperinci merangkumi penyediaan profail , pemetaan sosial, permohonan projek ekonomi dan kebun komuniti yang mampu memberi manfaat komuniti setempat.
“Dengan sokongan kewangan ini, KRT Progresif akan mendapat melaksanakan dengan lebih berkesan dalam menyediakan lebih banyak peluang untuk aktiviti kemasyarakatan dan memperkukuhkan lagi peranan rukun tetangga sebagai entiti penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Aaron berkata kerjasama antara kerajaan, masyarakat dan agensi-agensi terlibat akan terus dipertingkatkan untuk memastikan kejayaan inisiatif ini selaras dengan misi kerajaan untuk membangunkan negara yang harmoni dan bersatu.