UMNO Sabah tidak terburu-buru pilih rakan gabungan hadapi PRN

Kenyataan Media Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin

Advertisements

KOTA KINABALU: UMNO Sabah sentiasa berlapang dada dalam menentukan masa depan serta hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Dalam usaha mengembalikan UMNO Sabah ke landasan yang tepat, kita sedar bahawa perjalanan ini tidak mudah, malah penuh dengan cabaran serta rintangan.

Namun, dengan keazaman dan kebijaksanaan kepimpinan serta seluruh ahli UMNO Sabah, segala kesulitan yang dihadapi sebelum ini berjaya diatasi.

Hari ini, UMNO Sabah berdiri kukuh di landasan yang benar.

Sebagai sebuah parti yang telah lama berakar umbi di Sabah, kita mempunyai hak untuk memilih dengan siapa kita ingin bergabung.

Tetapi, sebelum memutuskan sebarang kerjasama politik, keutamaan kita adalah memperkukuh jentera parti di semua peringkat.

Kita harus memastikan UMNO Sabah berada dalam keadaan yang kuat, kerana jika kita dominan, mana-mana pihak yang bergabung dengan kita juga akan melihat UMNO sebagai pemimpin utama dalam landskap politik negeri ini.

Dalam ucapan Presiden UMNO sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di Tawau baru-baru ini, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, telah menegaskan betapa pentingnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menjadi kuasa politik dominan dalam PRN17 akan datang.

Beliau turut mengingatkan kita agar tidak lagi mudah percaya dengan janji-janji manis pihak tertentu yang mahu bekerjasama, tetapi akhirnya hanya merugikan UMNO Sabah.

Berdasarkan pengalaman lalu, UMNO Sabah telah merangka strategi tersendiri dan memiliki pasukan yang mantap dalam menghadapi sebarang situasi politik. Kami tidak perlu terburu-buru dalam mencari rakan gabungan kerana UMNO bukan parti yang lemah.

Fokus utama kita kini adalah memperkukuh kekuatan dalaman dan memastikan setiap ahli serta jentera UMNO Sabah bersiap sedia untuk menghadapi PRN17 dengan keyakinan tinggi.

Dengan sokongan padu daripada rakyat Sabah, InsyaAllah UMNO akan terus berjuang demi kestabilan dan kemajuan negeri ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles