SANDAKAN: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Haji Nasir menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang menegaskan bahawa UMNO-BN Sabah harus kembali menjadi parti dominan di negeri ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran menjelaskan kenyataan ini bukan sekadar aspirasi, tetapi satu seruan perjuangan yang mesti kita sahut dengan penuh keyakinan dan kesungguhan.
“UMNO-BN Sabah pernah menjadi tunjang politik di negeri ini, membawa kestabilan dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat.
“Kita yakin bahawa dengan kebangkitan semula semangat perjuangan, kekuatan jentera parti, serta sokongan rakyat, kita mampu mengembalikan kegemilangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata PRN-17 bakal menjadi titik penting dalam perjuangan UMNO-BN Sabah.
“Inilah masanya untuk kita mengorak langkah dengan lebih kukuh, memperkukuh akar umbi, dan meyakinkan rakyat bahawa UMNO-BN masih merupakan wadah terbaik untuk membela kepentingan mereka.
“Jentera parti di seluruh Sabah sedang giat digerakkan, dan saya yakin dengan kesatuan serta semangat juang yang tinggi, UMNO-BN akan kembali sebagai kuasa utama politik Sabah.
“Kita tidak akan berundur, kita tidak akan goyah, kerana perjuangan ini adalah demi rakyat dan negeri Sabah yang kita cintai,” tegasnya.
Suhaimi menyeru kepada semua ahli dan penyokong UMNO-BN, ini adalah masa untuk kita bangkit bersama.
“Dengan kekuatan akar umbi, pengalaman kepimpinan, dan hala tuju yang jelas, kita akan kembali sebagai parti dominan di Sabah. UMNO-BN Sabah tidak akan pernah mengalah!.