KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan Sabah, melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPAN Sabah), bersetuju menawarkan 35 biasiswa kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).
Beliau berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri menyokong pembangunan pendidikan dalam bidang keusahawanan dan koperasi.
“Ribuan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah yang telah menyokong KUSKOP dan UKKM melalui penawaran biasiswa kepada anak-anak Sabah yang ingin melanjutkan pengajian di UKKM.
“Saya difahamkan baru-baru ini JPAN Sabah telah pun meluluskan tajaan biasiswa untuk dua pelajar Ijazah Sarjana Muda dan seorang pelajar diploma sedia ada di UKKM.
“Di samping itu, JPAN Sabah juga telah bersetuju memperuntukkan biasiswa kepada 20 penerima bagi pelajar diploma dan 15 biasiswa kerajaan negeri Sabah (BKNS) kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda yang akan melanjutkan pengajian di UKKM pada tahun ini.
“Pemberian biasiswa ini selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara mengikut perspektif KUSKOP bagi membantu pembangunan sosio ekonomi rakyat Sabah khususnya dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemasyhuran Pro Canselor dan Konvokesyen Pertama UKKM, di sini, kelmarin.
Ewon turut mengalu-alukan koperasi-koperasi besar untuk menyediakan dana bantuan pengajian bagi kemudahan anggota, anak anggota, serta ahli lembaga dan pengurusan koperasi yang ingin melanjutkan pengajian di UKKM.
“Kejayaan UKKM bergantung kepada sokongan penuh daripada gerakan koperasi, dengan 16,009 koperasi berdaftar dan 7.2 juta keanggotaan di seluruh negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau juga menggesa agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) untuk terus bekerjasama dengan UKKM dalam memperkukuh lagi peranan koperasi dalam pendidikan tinggi.
Ewon berkata, Yayasan Bank Rakyat (YBR) akan menyalurkan biasiswa kepada 105 pelajar UKKM mulai tahun ini, merangkumi 20 pelajar diploma dan 15 pelajar ijazah sarjana muda bagi setiap pengambilan selama tiga tahun.
“SKM juga telah menyalurkan biasiswa kepada 29 pelajar UKKM. Ini menunjukkan komitmen berterusan dalam menyokong pendidikan koperasi,” katanya.