KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah mengungkapkan dua baris lirik lagu Ebiet G Ade ketika mengetengahkan isu jalan rosak dan kelewatan projek Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Sipitang-Beaufort, ketika berbahas di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam perbahasannya ke atas Titah Diraja, Matbali merujuk lagu Ebiet berjudul `Berita Kepada Kawan’ dan mengungkapkan nyanyian dua baris lirik lagu itu.
Katanya, setiap kali melalui jalan berkenaan, beliau teringatkan liriknya, antara lain berbunyi Tubuhku terguncang dihempas batu jalanan' dan
Perjalanan ini pun seperti jadi saksi, gembala kecil menangis sedih’.
“Saya merayu tolonglah kami, bantulah kami carilah solusi yang terbaik untuk menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo ini,” katanya, diikuti tepukan gemuruh Ahli-ahli Parlimen yang lain.
Beliau berkata Menteri Pelajaran, Fadhlina Sidek turut mengalami pengalaman menyakitkan ketika melalui jalan berkenaan sewaktu ke Sipitang untuk merasmikan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah Sipitang, minggu lepas.
Dalam ucapannya, Matbali menyatakan rasa kesal kerana projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, jajaran Sipitang-Beaufort itu tidak diselia dengan sebaik-baiknya. sehingga mengakibatkan kerosakan kenderaan selain turut menyebabkan kemalangan.
Katanya, cuaca hujan akhir-akhir ini telah memburukkan lagi keadaan.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Kerja Raya, pihak konsesi dan kontraktor memberi jawapan apakah faktor utama punca permasalahan itu.
Menurutnya, satu taklimat mengenainya diadakan pada 7 Februari lalu membabitkan Jabatan Kerja Raya, pihak konsesi, kontraktor dan pemimpin masyarakat, tetapi tidak ada jawapan penyelesaian dicapai.
“Malahan, banyak pertikaian teknikal dibangkitkan termasuk berkaitan dokumentasi, spesifikasi, rekabentuk dan `variation order’.
“Sebab itu, kita meminta Kementerian Kerja Raya memberikan pernyataan tuntas supaya projek ini dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya.