KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah mengangkat empat isu rakyat di kawasan Sipitang ketika perbahasan ke atas Titah Diraja di Dewan Rakyat semalam.
Isu yang dibangkitkan itu membabitkan kepentingan rakyat, termasuk berkaitan jalan raya dan banjir selain isu nelayan dan golongan belia.
Antaranya beliau meminta Kementerian Kerja Raya mengambil tindakan segera berhubung pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, jajaran Sipitang-Beaufort yang tidak diselia dengan sebaik-baiknya sehingga mengakibatkan kerosakan kenderaan selain turut menyebabkan kemalangan.
Katanya, ia penting kerana jalan berkenaan merupakan satu-satunya laluan penghubung dari Sarawak dan negara jiran, Brunei Darussalam ke ibu negeri, Kota Kinabalu.
“Baru-baru ini diadakan taklimat antara pihak Jabatan Kerja Raya, pihak konsesi, kontraktor dan pemimpin masyarakat, tetapi tidak ada jawapan dan penyelesaian.
“Malahan, banyak pertikaian teknikal dibangkitkan termasuk berkaitan dokumentasi, spesifikasi, rekabentuk dan `variation order’,” katanya.
Selain itu, beliau meminta agensi berkaitan menaik taraf termasuk meninggikan jalan serta memperbaiki sistem perparitan di jalan Kampung Suasa, Bangkalalak, Kepawa, Lubok Weston dan Bintuka.
Dalam pada itu, Matbali turut meminta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menimbang secara serius untuk membina Kompleks Pendaratan Ikan di bahagian Pedalaman Bawah, khususnya di Sipitang.
Katanya, komuniti nelayan tempatan perlukan kemudahan atau pangkalan pendaratan yang sistematik, bagi meningkatkan operasi, penghasilan dan produktiviti.
Sehingga kini, katanya, LKIM masih belum membina Kompleks Pendaratan Ikan moden di Sabah, meskipun cadangan mengenainya telah dimasukkan dalam senarai Rancangan Malaysia Ke-13.
Mengikut statistik, Sipitang antara daerah di Pedalaman Bawah yang mempunyai ramai nelayan, iaitu 755 orang, manakala daerah lain seperti Papar (911 nelayan), Beaufort (994 nelayan) dan Kuala Penyu (1,416 nelayan).
“Nelayan tempatan turut meminta supaya Rumah Nelayan yang sedia ada di Sipitang dibaik pulih oleh LKIM terlebih dahulu, sebagai kemudahan awal nelayan,” katanya.
Sementara itu, Matbali mencadangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan supaya program kepimpinan belia diperluaskan sampai ke peringkat akar-umbi, dengan menawarkan program pendidikan dan latihan kemahiran.
Di Sabah, hanya terdapat sebuah institut kemahiran di bawah KBS Persekutuan sahaja, iaitu Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kinarut.
“Dalam konteks ini, adalah wajar dipertimbangkan untuk mewujudkan beberapa buah lagi IKBN dan mungkin sebuah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN),” katanya.
Matbali turut membangkitkan isu banjir yang sering melanda kawasan Sipitang dan meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyediakan peruntukan segera bagi projek tebatan banjir.
Katanya, peruntukan itu diperlukan bagi melaksana projek Rancangan Tebatan Banjir Sindumin, dengan cadangan pembinaan alur limpah, parit aras tinggi serta kerja-kerja berkaitan di Sungai Mengalong, Sindumin, serta mendalamkan Sungai Lukutan Hilir.