Jadi pembicara hebat – Amisah

RANAU: Cabaran dan persaingan dalam berkomunikasi secara berkesan adalah satu kemahiran yang sangat bernilai.

Advertisements

Adun Dilantik, Datuk Amisah Yassin berkata untuk menyampaikan idea dengan jelas, tetapi juga membuka pintu peluang dalam banyak aspek kehidupan seperti kerjaya, perniagaan dan kehidupan sosial.

Beliau berkata seni ucapan bukanlah sekadar menyusun kata-kata indah tetapi melibatkan banyak aspek, antaranya penggunaan bahasa yang tepat, pengucapan yang jelas serta penyampaian yang penuh keyakinan dan emosi.

“Saya percaya bahawa setiap daripada kita, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan, mempunyai potensi untuk menjadi seorang pembicara yang hebat.

“Ini bukanlah satu kemahiran yang hanya terhad kepada mereka yang terlibat dalam bidang politik atau media, tetapi ia adalah kemahiran yang amat penting untuk semua golongan terutamanya bagi kita para wanita yang sering dihadapkan dengan pelbagai cabaran untuk menonjolkan diri dan menyuarakan pendapat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Seni Ucapan Berkesan di Dewan Perpustakaan daerah Ranau baru-baru ini.

Hadir sama Presiden Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah, Marlina Madjid dan peserta kursus.

Menurut Amisah seminar seperti ini memberi peluang kepada kita untuk mendalami seni pengucapan awam yang berkesan bagaimana kita boleh menguasai teknikteknik penting seperti penyampaian mesej yang jelas, penggunaan nada suara yang sesuai serta cara berinteraksi dengan audiens secara menarik.

Jelasnya semua ini adalah elemen-elemen yang boleh membantu untuk berkomunikasi dengan lebih yakin dan berkesan, sekaligus memberi impak yang lebih besar dalam setiap perkara yang kita lakukan.

Tambah Amisah lagi wanita adalah tonggak kepada keluarga, masyarakat dan negara. Peranan wanita dalam kehidupan seharian amat besar, namun untuk memainkan peranan itu dengan lebih berkesan, mereka harus memiliki keberanian untuk bersuara dan berkomunikasi dengan baik.

“Kita harus yakin dengan apa yang kita katakan dan tahu bagaimana untuk menyampaikan idea kita agar diterimai orang lain. Sebagai wanita, kita juga harus menjadi agen perubahan dalam masyarakat. Kita tidak boleh hanya berdiam diri dan menunggu peluang datang kepada kita.

“Kita perlu mencipta peluang itu dengan menyuarakan pendapat dan idea-idea bernas melalui komunikasi yang berkesan. Ucapan kita mampu memberi inspirasi, memotivasi dan mengubah persepsi orang lain terhadap sesuatu isu. Setiap wanita di sini perlu melihat seni berucap ini sebagai satu alat yang penting dalam memperkasakan diri dan memperjuangkan hak-hak kita”, ujarnya.

Tegas Amisah di Sabah, kita melihat banyak wanita yang mula mengambil tempat dalam politik dan kepimpinan. Namun, satu perkara yang perlu diingat adalah bahawa untuk berjaya dalam politik, kemahiran komunikasi yang berkesan adalah sangat penting.

Pengucapan awam yang baik dapat membantu seorang pemimpin untuk menggugah hati pendengar, memberi inspirasi kepada pengikut serta menyampaikan visi dan misi dengan penuh keyakinan dan kredibiliti ujarnya.

“Kita tidak dapat lari dari kenyataan bahawa dalam dunia politik, bagaimana kita menyampaikan pendapat atau pendirian kita sering kali menjadi ukuran kepada sejauh mana kita boleh mempengaruhi orang lain. Seorang ahli politik yang baik bukan hanya seorang pemikir yang cerdas, tetapi juga seorang pembicara yang mampu menarik perhatian ramai, menyampaikan mesej dengan tepat dan membuat orang ramai merasa terhubung dengan apa yang mereka sampaikan.

“Sebagai wanita yang terlibat dalam politik atau yang beraspirasi untuk terlibat, menguasai seni pengucapan awam adalah salah satu aset paling berharga yang perlu dimiliki,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles