KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir mengesahkan bahawa sehingga hari ini tidak ada sebarang perbincangan rasmi atau kesepakatan UMNO Sabah dan Parti Warisan.
Beliau berkata setakat ini UMNO Sabah belum membuat keputusan untuk mengadakan sebarang gabungan dengan mana-mana parti politik di Sabah.
Oleh itu, katanya segala laporan yang tular hanya spekulasi dan tidak mewakili pendirian rasmi UMNO Sabah.
“UMNO Sabah kekal fokus dalam memperkukuhkan parti serta memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Suhaimi berkata dalam menghadapi sebarang kemungkinan, UMNO Sabah telah bersiap siaga dengan strategi tersendiri.
“UMNO Sabah yakin dengan kepercayaan rakyat dan pengalaman parti dalam menguruskan kebajikan serta pembangunan negeri, UMNO Sabah akan terus menjadi pilihan utama pengundi di seluruh Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata UMNO Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak terpengaruh dengan spekulasi yang tidak berasas.
“Sebarang keputusan atau pengumuman rasmi akan dibuat melalui saluran yang sah pada masa yang sesuai,” katanya.