Masyarakat Tenghilan Dihargai atas Sokongan dalam Program Derma Darah

TENGHILAN: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian N.14 Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin, menzahirkan penghargaan kepada masyarakat sekitar Tenghilan yang telah memberikan sokongan padu terhadap Program Derma Darah yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Adventist (SRA) Pekan Tenghilan pada Khamis.

Advertisements

Program itu dianjurkan secara bersama oleh Pergerakan Pemuda PBS Bahagian N.14 Tamparuli, Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) Daerah Tuaran, dan Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth II.

Dalam kenyataannya, Rizkam, berkata bahawa kesudian masyarakat setempat untuk tampil menderma darah amat dihargai kerana ia bukan sahaja membantu meningkatkan bekalan darah di hospital, tetapi juga mencerminkan semangat kepedulian dan keprihatinan terhadap keperluan pesakit yang memerlukannya.

“Saya amat berterima kasih kepada semua penderma yang telah meluangkan masa dan menunjukkan semangat kebersamaan demi membantu mereka yang memerlukan.

Program seperti ini bukan sekadar mengenai derma darah, tetapi juga tentang membina kesedaran dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar, Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) Daerah Tuaran, Michael Goh, yang juga Pengerusi Penganjur Bersama, dan Penyelaras Biro Kesihatan PPKS Daerah Tuaran, Daulin Gudtak.

Program berkenaan merupakan kesinambungan daripada beberapa siri kempen derma darah yang telah dianjurkan sebelum ini oleh pihak penganjur.

Menurut Rizkam, matlamat utama program adalah bagi menambah bekalan darah untuk kegunaan hospital, selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah secara berkala.

Beliau turut menghargai sumbangan pihak Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Wakil Rakyat Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, atas sumbangan beras bagi menjayakan aktiviti tersebut.

“Dengan sokongan berterusan daripada masyarakat, kita berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat bersama,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk dari Kampung Molisau Tenghilan, Albert Joseph, 52 tahun, yang buat pertama kalinya menderma darah, mengakui teruja dan rasa berbangga kerana telah menjadi sebahagian daripada penderma kali ini.

“Sebelum ini, saya telah cuba menderma tetapi asyik gagal kerana terlupa membawa dokumen peribadi dan faktor kesihatan, tetapi syukur hari ini saya telah berjaya menderma,” katanya gembira.

Selain Albert, terdapat beberapa lagi ahli masyarakat serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, yang turut sama di dalam program tersebut, berjaya menderma buat pertama kalinya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles