KOTA KINABALU: Kemajuan yang dinikmati semua negeri di Malaysia hari ini adalah hasil pentadbiran ketika pemerintahan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) termasuklah di Sarawak.
Penolong Ketua Penerangan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop berkata, ketika ini semakin ramai rakyat Sabah yang menyuarakan keinginan untuk melihat negeri ini maju seperti Sarawak.
Katanya, pembangunan di Sarawak sering dijadikan model atau contoh dengan tanggapan bahawa kejayaan itu adalah daripada pentadbiran parti tempatan iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Namun katanya, fahaman itu kurang tepat dan wajar diperjelaskan agar rakyat Sabah memahami faktor sebenar di sebalik kejayaan pembangunan Sarawak.
“Hakikatnya, kemajuan Sarawak bukanlah hasil perjuangan parti tempatan semata-mata, tetapi ia adalah kesinambungan kepimpinan yang stabil dan kecekapan dalam merancang pembangunan sejak mereka berada dalam BN.
“Sarawak telah menerima manfaat daripada dasar pembangunan BN yang kukuh sejak dahulu lagi, dan kepimpinan negeri yang konsisten memastikan dasar itu dapat diteruskan tanpa gangguan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penerangan dan Media Baharu UMNO Sabah berkata demikian dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.
Menurutnya, di Sabah pula, ketidaktentuan politik dan perubahan kerajaan yang kerap berlaku sejak tahun 2018 menyebabkan pembangunan menjadi perlahan dan projek-projek utama tertangguh.
Katanya, kegagalan menguruskan pembangunan infrastruktur seperti Projek Lebuhraya Pan Borneo, bekalan air bersih, dan pembangunan luar bandar adalah contoh jelas bagaimana kepimpinan yang tidak stabil memberi kesan buruk kepada rakyat Sabah.
“GPS sehingga kini masih meneruskan asas kepimpinan yang dilaksanakan sejak pemerintahan BN dan membolehkan pembangunan infrastruktur serta ekonomi berjalan lancar tanpa gangguan.
“Sebaliknya di Sabah, pertukaran kerajaan sejak 2018 menyebabkan banyak projek terjejas, malah pelabur asing dan tempatan juga semakin berhati-hati kerana keadaan politik yang tidak menentu,” katanya.
Samasuddin berkata, UMNO dan BN Sabah mempunyai rekod pencapaian yang jelas dalam membawa kemajuan kepada negeri ini.
“Semasa BN memerintah, banyak projek jalan raya, jambatan, dan bekalan elektrik luar bandar telah berjaya dilaksanakan termasuklah perancangan yang rapi Projek Lebuhraya Pan Borneo.
“UMNO dan BN berjaya menarik banyak pelaburan ke Sabah dalam sektor minyak dan gas, perladangan, dan pelancongan serta menjadikan Sabah sebagai salah satu destinasi pelaburan utama di Malaysia.
“BN melaksanakan banyak inisiatif seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), bantuan kepada pekebun kecil, serta pembangunan sekolah dan hospital luar bandar dengan lebih sistematik,” katanya.
Tambahnya, pentadbiran BN di Sabah dahulu juga dilihat lebih stabil dan memberi keyakinan kepada pelabur serta rakyat.
Justeru, katanya, jika rakyat Sabah mahu melihat negeri ini maju seperti Sarawak, kita tidak perlu mengikut jejak Sarawak untuk mewujudkan parti tempatan, sebaliknya kembalikan kepimpinan BN Sabah yang sudah terbukti berpengalaman.
“Sabah memerlukan kestabilan dan hala tuju yang jelas, bukan percaturan politik yang tidak menentu seperti yang berlaku hari ini,” katanya.
Samasuddin berkata, UMNO Sabah terus komited dalam memperjuangkan hak rakyat dan memastikan pembangunan negeri ini tidak lagi terbantut akibat ketidakstabilan politik.
“Dengan pengalaman luas menguruskan pembangunan negara dan rekod pencapaian yang terbukti, UMNO dan BN Sabah bersedia membawa Sabah kembali ke landasan pembangunan yang betul.
“Sabah memerlukan kepimpinan yang stabil, berpengalaman, dan berkesan. UMNO dan BN Sabah bersedia menggalas tanggungjawab ini demi rakyat serta masa depan Sabah,” katanya