SIPITANG: Isu teknikal khususnya membabitkan perubahan rekabentuk dikenal pasti antara faktor yang menyebabkan kelewatan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo WP01 (Sindumin-Melalia) dan WP02 (Melalia-Beaufort).
Perkara ini dinyatakan pada taklimat pelaksanaan projek tersebut di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Sipitang pada Sabtu lepas yang dihadiri pihak terlibat dari Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor pelaksana dan pemimpin masyarakat.
Justeru itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datk Dr Yusof Yacob mahu pihak konsultan utama yang dilantik oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) Pusat di Kuala Lumpur membuat rekabentuk dengan cepat bagi membolehkan pihak kontraktor meneruskan kerja menyiapkan projek ini.
Katanya, pihak konsultan yang membuat reka bentuk bukan dilantik oleh kontraktor dan ia projek konvensional, ertinya konsultan dilantik oleh KKR Pusat.
“Masalah sini (kelewatan) daripada konsultan lambat menyedia reka bentuk dan juga tidak turun ke bawah secara tepat.
“Kalau mengharap google saja tidak tepat dan ada beberapa isu yang tidak dilihat dan dilihat dari luar saja.Itu yang projek ini tidak selesai,” katanya kepada media selepas taklimat itu.
Menurutnya, ketidak fahaman rakyat mengenai projek ini lewat disiapkan menyebabkan beliau sebagai wakil rakyat menjadi sasaran.
“Saya katakan bukan masalah sepenuhnya oleh pihak kontraktor, rakyat marah, seolah-olah saya memihak kepada kontraktor.
“Kita mesti faham isu sebenarnya, kontraktor orang Sipitang pun mahu projek ini cepat disiapkan dan saya sebagai wakil rakyat mendengar keluhan rakyat dan menyarankan kontraktor cepat membuat kerja.
“Tetapi tanpa adanya reka bentuk, yang siap dan sesuai dengan keadaan dan tidak ada arahan untuk membuat, pihak kontrator tidak boleh menjalankan kerja-kerja.Jadi saya merayu kepada pihak konsultan supaya mempercepatkan proses,” katanya.
Pada masa sama, Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad menyarankan KKR Pusat membayar tuntutan kontraktor mengikut progres kerja yang dilaksanakan.
“Mana mungkin satu kontraktor besar begini kalau tidak dibayar hingga beratus juta, bagaimana kontraktor meneruskan kerja..jadi saya minta kepada KKR Pusat segera membayar mana-mana tuntutan pihak kontraktor yang sudah diluluskan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga meminta pihak kontaktor dan JKR mempastikan bahawa keluhan orang ramai khususnya pengguna jalan raya mengenai keselamatan jalan ini perlu diutamakan.
Katanya, simpang-simpang utama perlu ada signboard, pemasangan papan tanda had laju dan kerosakan jalan sementera dibaiki segera terutama lubang-lubang cepat ditutup dan kemudian air yang bertakung hendaklah dialirkan cepat.
Dr Yusof berkata, koordinasi antara jabatan terlibat khususnya Sabah Electricity, Jabatab Air Negeri Sabah dan syarikat telekomunikasi perlu diselaraskan bagi memastikan mereka sama-sama membantu mempercepatkan penyiapan jalan Pan Borneo ini.
Menurutnya, dalam mesyuarat tindakan daerah nanti, jabatan dan agensi terlibat akan dipanggil semua untuk menyelesaikan masalah koordinasi ini.
Mengenai program taklimat itu, Dr Yusof berkata, ia berlangsung dalam suasana harmoni untuk pihak terlibat memberikan penerangan termasuk kontraktor berhubung kelewatan projek ini.