KOTA KINABALU : Istilah ahli parti meninggalkan UMNO Bahagian Beaufort bukan benda baharu malah berlaku sejak dahulu lagi.
Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, pihaknya sudah biasa dengan keadaan ini sekali gus pada ketika ini memberikan perkhidmatan kepada ahli serta masyarakat di kawasan Beaufort menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
Katanya, sebelum ini bermula sejak zaman penaja, UMNO Beaufort pernah ditinggalkan oleh tiga Ketua Bahagiannya.
“Mereka termasuklah Datuk John Ghani merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin, bekas Ahli Parlimen Beaufort serta Datuk Isnin Aliasnih kini ADUN Klias.
“Saya terpanggil untuk mengulas berikutan ada bahan disiarkan dalam sosial media TikTok baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Awang Aslee berkata, ketika mengulas kembali sejarah perjuangan UMNO Beaufort bermula sejak zaman penaja ketika UMNO mula bertapak d Sabah.
“Ketika itu zaman penaja dipanggil Bahagian Kimanis, kemudian berubah nama ke Parlimen Beaufort mengikut persempadanan baru.
“Bercerita tentang tahun 2018 UMNO Beaufort ditinggalkan lebih 3/4 oleh Jawatankuasa Bahagian yang menang pada ketika itu.
“Hanya yang menang tinggal saya, Ag.Damit Jion serta Abd.Rahman Mohd.Yakub@Elul kekal dlm perjuangan UMNO Beaufort,” jelas Awang Aslee.
Menurutnya, UMNO Beaufort pernah menerima tekanan begitu hebat, namun kesetiaan sebahagian besar ahli serta penyokongnya terutama kalangan Ketua-ketua Cawangan, UMNO Beaufort kekal berada sehingga kini dan selamanya.
“Kita boleh ibaratkan mereka yang setia ini sebagai umpama ibarat rambut yang tersimpul mati dalam perjuangan mereka.
“Ini terbukti apabila UMNO Beaufort berjaya mengangkat Datuk Siti Aminah Acing sebagai Ahli Parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum (PRU15) yang lalu,” kata Awang Aslee.
Beliau memetik kata-kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, “Biarlah sedikit ahli UMNO yang penting mereka setia pada perjuangan parti,”.
“Begitu juga kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tugas kita dalam parti hanya berjuang dan terus berjuang, soal kejayaan biar Allah yang tentukan.
“Untuk Cikgu Fadliezan Tingan bersama 52 orang rakannya seperti yang diperkatakan, saya mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada kamu semua di sana.
Bagi kami di Beaufort ini..UMNO will survive,” tambah Awang Aslee.