KOTA KINABALU: Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PERPADUAN) mendesak pihak berwajib di bawah kerajaan GRS supaya segera memperbaiki kerosakan jalan raya atau lubang jalan, khususnya di kawssan bandaraya Kota Kinabalu.
Setiausaha Agung parti PERPADUAN Fedilis Onong Wan berkata langkah drastik itu penting bagi mengelak tragedi maut berulang hanya ‘gara-gara terlanggar lubang jalan’.
“Kejadian malang yang berlaku dalam kawasan bandaraya Kota Kinabalu ini wajar menjadi pengajaran kepada semua, khususnya pihak berkuasa atau kerajaan GRS.
“Kita tidak mahu tragedi maut ini berlaku lagi. Jika ada sikap alpa di pihak berwajib berkaitan penyelenggaraan jalan raya…ia seharusnya berakhir demi kebaikan semua, terutama pengguna jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas akibat terlanggar lubang jalan rosak dalam kejadian di Jejambat Lido, Jalan Lintas, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia selepas dua jam lebih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Fedilis berkata berdasarkan maklum balas rakyat, isu berkaitan bekalan air (sekepa ada sekejap tiada), elektrik dan jalan raya merupakan antara keluhan utama yang wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri sedia ada.
