Sudah tiba masa rakyat lakukan perubahan lanskap politik Sabah – Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sudah tiba masanya rakyat Sabah melakukan perubahan lanskap politik di negeri ini pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menurutnya tidak ada parti dari luar di Sabah sewaktu Malaysia ditubuhkan.

“Kalau dulu Parti Berjaya boleh perintah 10 tahun dan PBS perintah hampir 10 tahun secara bersendirian….tiada sebab Warisan tidak boleh melakukannya jika rakyat bersatu mahukan perubahan.

“Jadi ini lah (PRN) masanya untuk kita rakyat Sabah melakukan perubahan,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Tahun Baharu di Sandakan.

Bekas ketua menteri itu berkata Warisan menolak sebarang usaha memperluaskan politik ekstremism di Sabah.

“Di Sabah ini kita punyai rakyat berbagai bangsa, kalau saya ikut politik berasaskan Melayu saya boleh saja terus bersama UMNO dan kalau saya mahu berpolitik berasaskan agama saya boleh ikut PAS.

“Namun saya memilih tubuhkan Warisan parti berbilang bangsa untuk rakyat Sabah yang cintakan keharmonian dan kesedarhanan,” katanya.

Mohd Shafie berkata jika Warisan mendapat mandat rakyat, parti itu akan melakukan yang terbaik untuk mentadbir negeri ini.

“Dalam tempoh dua tahun Warisan memerintah dulu, kita berjaya melakukan beberapa perubahan termasuk menubuhkan Kementerian Pendidikan dan Kesihatan.

“Kita juga berjaya mengenakan cukai jualan minyak (petronas) yang kita menyumbang lebih RM1 bilion kepada negeri Sabah,” katanya.

Mohd Shafie berkata kini sudah empat tahun kerajaan GRS pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor memerintah Sabah, hidup rakyat semakin susah.

“Harga barang naik…bekalan air pula sekejao ada sekejap tiada dan begitu juga bekalan elektrik…bagai mana kita mahu menggalakkan pelaburan air dan letrik tak cukup,” katanya.

Beliau berkata sebaik sahaja Warisan memerintah, “kita akan usahakan bina empangan di Sungai Segama (Lahad Datu) dan juga di Sungai Kinabatangan (jika sesuai),” katanya.

Mohd Shafie berkata parti itu juga bertekad mewujudkan semula Kementerian Pendidikan dan Kesihatan di negeri ini.

Daripada segi kesihatan, jika Warisan menubuhkan kerajaan Sabah, beliau berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pengusaha China dan India untuk menghasilkan produk ubat-ubatan generik di Sabah, sekali gus mewujudkan pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sehubungan itu, Mohd Shafie mengajak rakyat Sabah, termasuk kaum Cina untuk memberi sokongan padu kepada Warisan dalam PRN akan datang demi masa depan yang lebih baik.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles