IPG Kent anjur pameran promosi Bahasa Kadazandusun

TUARAN: Jabatan Bahasa Kadazandusun, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kent telah menganjurkan program pameran bagi mempromosi Bahasa Kadazandusun yang diadakan di sini baru-baru ini.

Program itu bukan sahaja disasarkan kepada siswa guru Bidang Bahasa Kadzandusun tetapi juga kepada siswa guru dari bidang lain.  

Program yang dilaksanakan dibawah kursus Peristilahan, Perkamusan dan Terjemahan Bahasa Kadazandusun bimbingan Puan Rosmahwati Binti Ebbie itu merupakan antara inisiatif baharu untuk memelihara dan memperkayakan lagi bahasa Kadazandusun melalui beberapa pameran interaktif yang memaparkan istilah, audio sebutan, terjemahan cerita pendek dan istilah Sains dan Matematik dalam bahasa Kadazandusun.

Program yang dijayakan oleh para siswa guru PISMP September 2022 – Julai 2026 itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan minat dalam mempelajari bahasa tersebut, terutama dalam kalangan generasi muda.

Pameran interaktif itu dilengkapi dengan audio sebutan oleh penutur asli, serta visualisasi interaktif yang membantu pemahaman konsep sesuatu istilah.

Melalui pendekatan visual dan audio, pengguna dapat mempelajari bahasa Kadazandusun dengan cara yang lebih menarik dan mudah difahami.  

Selain itu, pameran itu turut menyediakan Kamus Mini digital yang mengandungi koleksi istilah beserta antonim dan sinonim bagi memudahkan pemahaman pengguna.

Tambahan pula, terdapat terjemahan cerita pendek yang membolehkan pengunjung memahami struktur ayat dan penggunaan bahasa dalam konteks yang lebih luas.

Bagi memperkaya kandungan pembelajaran, pameran tersebut turut merangkumi penyusunan istilah sains dan matematik dalam bahasa Kadazandusun bagi membantu pelajar memahami konsep akademik dalam bahasa ibunda mereka.  

Menurut penganjur, objektif utama projek itu, antara lain, menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, meningkatkan kefahaman dan penghargaan terhadap bahasa Kadazandusun, serta membantu dalam usaha pemeliharaan dan penyebaran bahasa ini kepada masyarakat.

Gundohing John Bin Gitom, Ketua Jabatan Bahasa Kadazandusun berkata program sebegini sememangnya wajar dilaksanakan apatah lagi dengan sambutan yang menggalakkan dari para siswa guru bidang lain yang berminat untuk belajar Bahasa Kadazandusun.  

Program itu hanya sebahagian daripada perancangan untuk memastikan Bahasa Kadazandusun terus diminati oleh generasi muda khususnya dan diharapkan lebih ramai sedar akan pentingnya usaha untuk melestarikan bahasa ini.  

Gambar: Sebahagian warga IPGM Kampus Kent
Kehadiran warga IPGM Kampus Kent ke booth pameran ini dan mengikuti aktivit-aktiviti yang disediakan amat bermakna sekali dan mendorong Jabatan Bahasa Kadazandusun untuk memperbanyakkan lagi program interaktif yang boleh menjana kepada usaha memartabatkan dan memperkukuhkan lagi bahasa ini.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles