KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah memastikan bekalan barang mencukupi menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina 2025 ini.
Justeru pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang berkuat kuasa mulai 25 Januari hingga 2 Februari 2025 melibatkan 16 jenis barangan berbanding hanya 11 jenis barangan pada musim perayaan lalu.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, berkata harga dan kawalan barang di bawah skim tersebut telah diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Datuk Armizan Mohd Ali baru-baru ini, memberikan jaminan bahawa stok barangan juga mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna sepanjang musim perayaan.
“Peniaga memaklumkan bahawa stok mencukupi, dan pengguna tidak perlu risau asalkan mereka berbelanja dengan bijak dan membandingkan harga,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pemantauan yang dijalankan bersama Yayasan Pengguna Negara Cawangan Sabah ke salah sebuah pasaraya di Kepayan di sini, semalam.
Shahril turut mengingatkan pengguna untuk melaporkan sebarang keraguan atau pelanggaran melalui saluran rasmi, termasuk sistem aduan dalam talian atau panggilan telefon.
Ditanya mengenai isu harga ayam yang mahal baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa pemantauan harga dijalankan setiap hari dan laporan menunjukkan keadaan tidak seperti yang digembar-gemburkan.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber yang sah dan mengelakkan penyebaran khabar angin yang tidak disahkan.
Menurut Shahril, sejak 1 Januari 2025 hingga 15 Januari 2025, KPDN Sabah telah memeriksa 4,617 premis dan mengeluarkan 90 kes kompaun berjumlah RM16,900 dengan nilai sitaan RM123,943.70.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
“Antara hukuman yang boleh dikenakan termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, serta kompaun sehingga RM50,000 bagi individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum. Bagi syarikat, denda boleh mencapai RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.
“Setakat ini, keadaan di Sabah dilaporkan terkawal dengan hanya beberapa teguran dan peringatan mengenai pematuhan tanda harga,” ujarnya.
Sebanyak 12 jenis barangan telah diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2025 di Sabah, antaranya ikan bawal putih, udang putih besar, bawang putih (China), lobak merah, lobak putih import, kubis bulat import, ubi kentang import, halia tua import, kepak ayam, babi hidup (ladang sahaja) dan daging babi (daging dan perut).
Tempoh pelaksanaan adalah selama sembilan hari iaitu selama empat hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan dan empat hari selepas hari perayaan.
Skim Harga Maksimum ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan melibatkan pemborong serta peruncit.
Semakan harga boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi KPDN di https://www.kpdn.gov.my.