PH Sabah komited perkukuh kebersamaan dan hak rakyat di bawah MA63

KENINGAU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, gabungan itu komited memperkukuhkan kebersamaan rakyat pelbagai etnik di negeri ini melalui penganjuran pelbagai sambutan perayaan.

Advertisements

Selain itu katanya, pimpinan PH Sabah dan Kerajaan MADANI juga akan terus memberi jaminan hak setiap rakyat di negara ini dipelihara seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Saya amat yakin sambutan seumpama ini merupakan sumbangan Pakatan Harapan Sabah dalam usaha kita untuk memupuk kebersamaan rakyat pelbagai etnik.

“Selain Sambutan Tahun Baharu Cina, kita juga akan teruskan sambutan seumpama ini untuk meraih kebersamaan etnik-etnik dan agama lain seperti Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan.

“Kita menganjurkan sambutan seperti ini untuk memberi penghormatan kepada hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan dalam tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Tahun Baharu dan Rumah Terbuka Hari Natal PH Sabah, di Dewan Pasisimpungan Keningau, di sini, hari ini.

Mengenai tuntutan MA63, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, daripada 21 tuntutan itu, sebanyak 11 tuntutan telah dilaksanakan sepenuhnya.

“Pada tahun lepas terutamanya dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63)yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kota Kinabalu, daripada 21 tuntutan berkaitan MA63, 11 telah dilaksanakan dan dipenuhi sepenuhnya.

“Empat daripada 11 tuntutan itu diserahkan kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak semasa kerajaan sebelum ini dan 7 tuntutan lagi dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan MADANI.

“Lebih banyak tuntutan MA63 dipersetujui, dilaksanakan dan diturunkan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI,” tegas beliau.

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, perkara lain yang masih dibincangkan akan diteruskan perundingannya.

“Perkara yang masih dibincangkan akan diteruskan perundingannya antara kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dengan kerajaan persekutuan melalui platform sedia ada iaitu MTPMA63, Jawatankuasa Teknikal dan jawatankuasa-jawatankuasa lain yang berkaitan.

“PH Sabah akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam kesemua platform itu dan melalui penglibatan saya di kabinet dan juga Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa, PH Sabah akan terus menyuarakan pandangan dan input bagi memastikan setiap perbincangan melalui platform-platform berkaitan MA63 memberi manfaat kepada rakyat Sabah secara keseluruhannya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles