KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Lawrence Gimbang menang tanpa tanding dan kekal sebagai Presiden Persatuan Pelestarian Bahasa Dusunik Sabah (KBDS) pada Mesyuarat Agung Dwitahunan AGM) yang diadakan di Dewan Persidangan, Perpustakaan Penampang hari ini.
Turut mengekalkan jawatan masing-masing tanpa tanding ialah timbalan presiden KBDS Datuk Eric Majimbun, Setiausaha Agung Gundohing Petrus Guriting dan bendahari Gundohing Lothar Michael.
Antara AJK yang dipilih ialah Dato Webley Disim (bakal dilantik penolong bendahari) Alex Kando, Soguli Olid dan Sitiamah Sahat (bakal dilantik penolong setiausaha agung).
Kesemua mereka menang tanpa tanding.
Jawatan AJK yang lain akan diisi sebaik sahaja pindaan perlembagaan persatuan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
Terdahulu, Gimbang dalam ucapannya mahu ahli KBDS melipatgandakan usaha untuk memperkasakan dan melestarikan bahasa Dusun terutama di kalangan generasi muda.
Beliau berkata antara program yang dilanjurkan oleh KBDS setakat ini ialah Bengkel Ortografi, Kamus dan BLOOM yang diadakan di The Kaingaran, Kampung Dalungan Tambunan pada Oktober 2023.
Persatuan itu antara lain bermatlamat untuk menggalakkan masyarakat Kadazan-dusun bertutur dalam bahasa Dusunik mengikut dialet masing-masing supaya bahasa itu tidak akan lupus di telan zaman.