KOTA KINABALU: Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed, menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera dalam menangani isu bekalan air yang semakin meruncing di negeri ini.
Menurur laporan ONLINE UMNO, beliau melahirkan kebimbangan ekoran masalah terbabit masih berlarutan walaupun telah disuarakan pelbagai pihak dan rakyat berdepan situasi yang tidak sewajarnya.
“Saya boleh menerima alasan bahawa Sabah sedang bertambah penduduknya dan keperluan sumber air terawat semakin bertambah, tetapi bagaimana untuk mengatasi masalah ini dalam jangka pendek dan panjang masih belum jelas.
“Kita tidak boleh statik dengan idea dan cara kita sendiri. Kadangkala, kita perlu menerima cadangan daripada pihak luar untuk mencari penyelesaian,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan turut meminta pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan memberikan penjelasan mengenai keadaan sebenar serta langkah-langkah penyelesaian yang sedang atau akan dilaksanakan.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Jeffery Nor turut berkongsi bahawa beliau telah menerima beberapa video dan gambar daripada penduduk yang terkesan ekoran masalah bekalan air.
“Kita sudah berada di tahun 2025, tetapi keadaan kini lebih teruk berbanding dahulu. Hari-hari ada sahaja laporan kawasan atau kampung yang tiada bekalan air,” katanya.
Beliau menyatakan rasa simpati terhadap penduduk yang terkesan dan berjanji untuk membantu sedaya upaya.