KOTA KINABALU : Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah sedang mengumpul maklumat berkaitan isu harga ayam mahal dijual di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, pihaknya akan meneliti beberapa faktor lain termasuk punca sehingga menyebabkan kenaikkan harga ayam melambung tinggi sekali gus membebankan rakyat di Sabah.
Katanya, selepas itu pihaknya akan menghantar satu memorandum serta aduan secara rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) di dalam tempoh terdekat.
“Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah akan melaksanakan saranan yang dibuat Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin, untuk mengemukakan memorandum serta aduan rasmi kepada KPDN dalam tempoh terdekat.
“Dalam tempoh sama, kita juga akan melihat kepada barangan keperluan lain dikenal pasti mengalami jurang perbezaan harga yang besar melibatkan antara Sabah dan Semenanjung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Awang Aslee merupakan Ketua UMNO Bahagian Beaufort berkata, isu harga ayam mahal bukan isu baharu namun Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah akan memohon kepada KPDN untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.
“Kita akan turun padang bertemu bersama peniaga, pemborong serta penternak untuk mengenal pasti berkaitan punca harga ayam mahal di Sabah.
“Dalam tempoh sama, kita juga akan melihat isu lain iaitu berkaitan kenaikkan harga barangan kerana rakyat di Sabah sangat terbeban dengan masalah ini,” jelas Awang Aslee.
Menurutnya, UMNO melihat isu harga ayam serta barangan merupakan antara keluhan rakyat di peringkat akar umbi sekali gus perlu ditangani secara bijak.
“Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah mencadangkan agar KPDN serta agensi berkaitan bersama-sama mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan jurang harga barang keperluan ini.
“Kerajaan perlu mengambil langkah segera kerana kita melihat isu ini semakin membebankan rakyat Sabah, terutama mereka yang berpendapatan rendah,” kata Awang Aslee.