Ketua Kampung dan JKKK Karamunting Kini Boleh Keluarkan Surat Pengesahan Dokumen

SANDAKAN: Ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Karamunting kini tidak lagi perlu pergi ke Mahkamah Anak Negeri Sandakan di Batu 7 untuk mendapatkan surat pengesahan bagi dokumen, selepas hasil perbincangan yang diadakan bersama Orang Kaya Kaya (OKK) Ahmad Lukman Rusli pada Jumaat lalu.

Advertisements

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, berkata mesyuarat tersebut yang dihadiri beliau sendiri diadalan bagi menangani isu yang membebankan penduduk kampung, khususnya kelewatan mendapatkan surat pengesahan dokumen yang penting bagi urusan rasmi.

“Sebelum ini, penduduk kampung terpaksa pergi ke Batu 7 hanya untuk mendapatkan surat pengesahan dokumen. Ini sangat menyusahkan mereka, terutama bagi golongan yang tidak mempunyai kenderaan atau kewangan yang mencukupi untuk tambang ke Mahkamah Anak Negeri. Ini amat menyulitkan urusan bagi penduduk kampung di sini.

“Kami amat berterima kasih kepada OKK Ahmad Lukman Rusli kerana sudi meluangkan masa untuk mendengar masalah rakyat di Karamunting dan memberikan komitmen untuk membantu,” kata George di dalam kenyataan.

Menurut George, hasil daripada perjumpaan tersebut, OKK Ahmad Lukman telah bersetuju memberi kebenaran kepada ketua-ketua kampung dan ketua JKKK yang dilantik di kawasan Karamunting untuk mengeluarkan surat pengesahan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Langkah ini sangat penting supaya penduduk kampung tidak perlu lagi membuang masa dan tenaga untuk mendapatkan surat pengesahan. Saya berharap inisiatif ini dapat mempercepatkan proses penyelesaian masalah rakyat,” kata George.

George juga menyatakan harapannya agar ketua-ketua masyarakat di akar umbi termasuk Kapitan (ketua masyarakat cina), ketua JKKK dan ketua kampung yang dilantik akan dapat menyelesaikan isu-isu rakyat secara langsung.

“Dengan ini, saya berharap semua ketua masyarakat tempatan akan dapat memainkan peranan yang lebih penting dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam membantu menyelesaikan masalah penduduk secara terus,” katanya.

Tamab George, langkah ini diharap akan dapat meningkatkan keberkesanan pentadbiran di peringkat kampung serta memperbaiki kehidupan penduduk Karamunting.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles