Bung minta kerajaan Sabah bantu tangani isu harga ayam segar

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyeru pihak Kerajaan Negeri Sabah, melalui agensi atau kementerian berkaitan, agar mengambil langkah serius bagi membantu meringankan beban rakyat, khususnya dalam menangani isu harga barang keperluan asas, terutama harga ayam segar.

Advertisements

Sebagai contoh, katanya harga ayam segar bulat atau ayam proses di seluruh Semenanjung, termasuk di kawasan pedalaman Pantai Timur, hanya sekitar RM7.00 hingga RM9.00 sekilogram.

Namun, di Sabah, beliau berkata harga ayam segar berbeza mengikut lokasi dan pembekal.

Secara purata, harganya berada pada kadar RM12 hingga RM15.50 sekilogram, malah ada yang mencecah RM16.50 sekilogram, katanya.

“Ini adalah harga pada hari biasa, bukan semasa musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada November 2023, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, menjelaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Sabah bahawa antara punca harga ayam di Sabah lebih tinggi berbanding Semenanjung ialah perbezaan enakmen dan akta yang dilaksanakan di Sabah.

Menurut beliau, pengusaha di Semenanjung boleh mengimport ayam dari luar negara seperti Poland.

Namun katanya, untuk melindungi Sabah daripada penyakit bawaan haiwan, import ayam ke Sabah adalah terhad, menyebabkan bekalan ayam di Sabah menjadi kurang.

Beliau turut menyatakan bahawa kos makanan ayam di Sabah tinggi kerana bahan mentah perlu diimport dari Semenanjung menggunakan kapal laut, yang menambah kos operasi.

Bung menegaskan bahawa di Semenanjung terdapat 10 negeri yang menternak ayam secara besar-besaran, termasuk menetaskan telur untuk menghasilkan anak ayam sendiri.

“Saya tidak mendengar sebarang keperluan mereka untuk mengimport ayam secara besar-besaran, melainkan ia adalah ayam sejuk beku jika ada.

“Bagi kos makanan ayam atau dedak, Sabah sebenarnya berpotensi besar untuk menghasilkan bekalan sendiri secara berskala besar tanpa perlu bergantung kepada pembekal dari Semenanjung.

“Justeru, saya mencadangkan agar pihak berkenaan menjalankan lawatan ke negeri-negeri di Semenanjung untuk mempelajari kaedah mereka mengawal harga ayam secara efektif,” katanya.

Selain itu, Bung berkata peranan pihak KPDN juga diperlukan untuk membuat pemantauan dan kawalan harga ayam yang dilihat tidak dapat terkawal di Sabah.

“Isu ini tidak akan selesai jika kita terus mencari alasan tanpa mengusahakan penyelesaian.

“Rakyat yang akhirnya menanggung derita, terutama golongan berpendapatan rendah, yang amat terbeban dengan kos perbelanjaan harian,” katanya.

Selain itu, katanya, peniaga kedai makan juga menghadapi kesukaran dan serba salah menentukan harga makanan untuk dijual, kerana kos bahan mentah terus meningkat.

Sebagai tambahan, Bung turut memberi peringatan isu Projek Jalan Pan Borneo sering diberi perhatian yang mana jalan sedia ada yang rosak tidak diperbaiki, menyebabkan rakyat terus sengsara, pecah rim, tayar pancit tengah jalan dan boleh menyebabkan kemalangan.

Bung berharap kerajaan Sabah dapat segera mencari penyelesaian konkrit terhadap masalah-masalah tersebut.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles