Program I.P.L.A.N.T. perkukuh usaha penghijauan Hutan Paya Gambut Klias, Beaufort

BEAUFORT: Program Inisiatif Penghijauan Lestari, Aspirasi Negeri Taman Terindah (I.P.L.A.N.T.) yang berlangsung di Pusat Luar Hutan Paya Gambut Klias, Beaufort kelmarin menjadi bukti komitmen Sabah dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.

Advertisements

Program yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih menonjolkan langkah proaktif negeri untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan landskap hijau dan biodiversiti.

Dalam ucapan beliau, Isnin mengucapkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan Sabah atas sokongan mereka terhadap pelaksanaan aktiviti penanaman pokok ini. Beliau turut menegaskan bahawa program I.P.L.A.N.T. selaras dengan Teras 5 Dasar Landskap Negeri Sabah yang bertujuan membudayakan kecintaan terhadap landskap serta menyokong agenda pembangunan mampan seperti yang digariskan dalam The 2030 Agenda for Sustainable Development dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025.

Sebanyak 150 pokok telah ditanam kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pokok yang ditanam di bawah inisiatif I.P.L.A.N.T. kepada 326,845. Langkah ini menyumbang kepada sasaran penanaman 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033. Hutan Paya Gambut Klias, yang meliputi kawasan seluas 3,630 hektar, dikenal pasti sebagai kawasan penting dalam pemuliharaan tanah lembap, habitat biodiversiti dan perlindungan spesies haiwan terancam seperti Orang Utan dan Monyet Proboscis.

Isnin turut menekankan pentingnya kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat. Sejak dilancarkan pada tahun 2020, program I.P.L.A.N.T. telah berjaya mengadakan sesi libat urus bersama 26 pihak berkuasa tempatan di Sabah. Sebelum ini, program serupa turut dilaksanakan di Hutan Simpan Sulaman Lake, Tuaran dan Hutan Simpan Kudat dengan melibatkan institusi pendidikan dan komuniti tempatan.

“Melalui program ini, kita tidak hanya menanam pokok, tetapi juga memupuk kesedaran tentang pentingnya menjaga kelestarian alam sebagai tanggungjawab bersama,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk terus menyokong program seperti ini sebagai usaha menangani isu perubahan iklim dan memastikan kelestarian generasi akan datang. Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha Sabah untuk mengekalkan gelaran Negeri Taman Terindah dan memperkukuh peranannya dalam pemeliharaan alam sekitar global.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles