Lebih baik kita bekerjasama dalam GRS’ – Dr. Joachim

KOTA KINABALU, 13 Januari 2025: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan pendirian untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Advertisements

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, sekiranya Parti Warisan ingin bekerjasama dengan PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), adalah lebih baik jika mereka terus bekerjasama dalam GRS, bukannya hanya dengan dua parti sahaja, kerana langkah itu kelihatan seolah-olah bertujuan untuk memecahbelahkan parti dalam GRS.

“PBS sudah berada dalam GRS dan sangat komited terhadap GRS sejak hari pertama ia ditubuhkan. Kami (PBS) akan terus kekal bersama GRS selamanya,” kata Timbalan Ketua Menteri II itu sebagai respons kepada kenyataan Warisan yang baru-baru ini menyatakan minat untuk bekerjasama dengan PBS dan STARSABAH.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan “walkabout” sempena Tahun Baharu Cina di Tamu Mingguan Gaya Street di sini kelmarin (13 Januari).

Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menegaskan bahawa pihak pembangkang hanya mempolitikkan isu integriti yang dikaitkan dengan GRS.

“Dalam politik, kita semua bergantung pada sumbangan, dan ia adalah sesuatu yang diterima, malah seluruh negara bergantung pada sumbangan dalam politik. Cara sumbangan itu sampai mungkin berbeza, tetapi bagi saya, kita tidak boleh mengaitkan penerimaan sumbangan daripada konglomerat, individu atau syarikat lain dengan isu integriti,” jelasnya.

Dalam sesi lawatan mesra tersebut, Dr. Joachim turut menyantuni serta mengedarkan kalendar tahun 2025 kepada para peniaga Tionghua dan orang ramai yang berkunjung ke tamu mingguan itu.

Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Yee Moh Chai dan Datuk Jahid Jahim; Naib-naib Presiden, Datuk Henrus Anding dan Datuk Johnny Mositun; Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki; Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Jonnybone Kurum; Bendahari PBS, Datuk Lu Kim Yen; para Ahli Majlis Tertinggi; Ketua Pergerakan Pemuda, Christoper Mandut; Timbalan Ketua Wanita, Datin Seri Vicky Yee; Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai; Ketua Penerangan PBS Bahagian N.20 Api-Api, Yee Tsai Yew; serta Exco-exco Pemuda dan Wanita, termasuk Ketua-ketua Bahagian.

Dr. Joachim juga mengucapkan terima kasih kepada GRS Api-Api N.20 yang turut serta dalam sesi lawatan mesra itu.

Terdahulu, beliau bersama rombongan turut menyantuni para peniaga di sekitar Pasar Lido.

“Setiap sambutan Tahun Baharu Cina sangat istimewa. Oleh itu, kita berkumpul bersama Ketua-Ketua Bahagian dan ahli-ahli parti untuk menyantuni peniaga-peniaga di sekitar Kota Kinabalu, termasuk masyarakat yang merayakan.

“Semoga Tahun Baharu Cina ini membawa kebahagiaan, keceriaan, kemajuan dan kesejahteraan kepada Sabah. Kami mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua rakyat Sabah. Semoga Sabah terus aman dan makmur,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles