Dr Gaim Lunkapis santuni komuniti setempat Kulangi Campsite di DUN Tamparuli

TUARAN: Tokoh pembangunan komuniti luar bandar Dr Gaim James Lunkapis berkesempatan menyantuni keluarga dan penduduk setempat di sekitar Kulangi Campsite berhampiran Kampung Gontung dalam DUN Tamparuli baru-baru ini.

Advertisements

Menurut Dr Gaim, aktiviti eko dan agro pelancongan berpotensi besar untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat, terutama
dalam usaha memperkasakan ekonomi luar bandar.

Mengambil contoh potensi Kulangi Campsite, beliau berkata ia merupakan destinasi pelancongan yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan pengalaman agro yang memberi impak positif kepada keluarga dan komuniti setempat.

Terletak berhampiran Kampung Gontung, Kulangi Campsite hanya mengambil masa sekitar satu jam setengah perjalanan dari Kota Kinabalu melalui jalan berturap, katanya.

“Kawasan ini bukan sahaja menawarkan pemandangan indah tetapi juga aktiviti pelancongan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Antaranya termasuklah camping, seminar, pelancongan agro, mandi sungai,, hiking dan lain-lain aktiviti,” katanya.

Selain itu, Dr Gaim berkata Kulangi Campsite jsesuai dijadikan sebagai lokasi untuk siri pembelajaran kepada pelajar dari dalam dan luar negara.

“Tempat ini menawarkan peluang untuk memahami budaya komuniti setempat serta keafiran tempatan yang mencerminkan kekayaan tradisi dan nilai-nilai masyarakat luar bandar.

“Aktiviti seperti lawatan pendidikan, bengkel budaya, dan interaksi bersama komuniti setempat mampu memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada para pelajar dalam dan luar negara,” katanya.

Dalam acara yang berlangsung bersama komuniti setempat, Dr. Gaim memberikan kata-kata motivasi yang menginspirasi penduduk di situ.

Beliau menekankan pentingnya memanfaatkan sumber semula jadi dan potensi tempatan untuk mencipta peluang ekonomi baru.

“Kawasan seperti Kulangi Campsite menunjukkan bagaimana keindahan semula jadi dan hasil tani tempatan boleh digabungkan untuk mencipta pengalaman pelancongan yang unik.

“Apa yang penting ialah bagaimana kita menguruskan sumber ini secara mampan untuk manfaat jangka panjang komuniti kita,” ujar beliau.

Dr. Gaim turut memberikan idea praktikal untuk memperkasa ekonomi komuniti luar bandar.

Beliau mencadangkan agar Kulangi Campsite memperluaskan tawaran mereka dengan menambah program pendidikan seperti bengkel agro pelancongan dan kursus kemahiran berkaitan pelancongan.

Menurutnya, pendidikan mampu meningkatkan daya saing komuniti dalam pasaran yang lebih luas.

“Pendekatan ini bukan sahaja memberikan peluang pendapatan tambahan kepada komuniti Kampung Gontung tetapi juga membantu memelihara warisan alam dan budaya tempatan.

“Dengan sokongan pelbagai pihak, Kulangi Campsite kini berada di landasan yang tepat untuk menjadi model pembangunan luar bandar berasaskan eko dan agro pelancongan di Sabah.

“Bagi pelancong yang ingin melarikan diri dari kesibukan kota dan merasai pengalaman luar biasa, Kulangi Campsite adalah destinasi yang perlu dipertimbangkan,” tambah beliau.

Dalam kesempatan itu, Dr Gaim yang juga bekas Profesor Madya UMS sempat memperkenalkan salah satu parti yang ingin bertanding di DUN Tamparuli iaitu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Selain GRS dan KDM, turut mengintai kerusi DUN Tamparuli yang kini diwakili oleh Datuk Jahid Jahim daripada PBS ialah UPKO.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles