Kenyataan Media YB DATUK HJ NIZAM DSP ABU BAKAR TITINGAN
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah
ADUN (N.68) APAS
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat
KOTA KINABALU: Saya ingin menegaskan bahawa serangan YB Bung Moktar terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan realiti pencapaian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam tempoh empat tahun kepimpinan Datuk Seri Hajiji, kutipan hasil negeri meningkat hampir dua kali ganda, dengan Sabah mencatatkan kutipan hasil RM6.973 bilion pada tahun 2023, yang merupakan rekod tertinggi dalam sejarah negeri ini.
Pencapaian ini membuktikan bahawa kerajaan GRS PH Plus telah mengurus ekonomi negeri dengan bijaksana melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Selain itu, di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi yang turut mencipta banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.
Sebagai contoh, pelaburan RM2.3 bilion oleh SK Nexilis untuk kilang kerajang tembaga di KKIP yang menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan, pelaburan yang dianggarkan sebanyak RM7.2 bilion oleh Kibing Group untuk kilang solar yang membuka lebih 1,800 peluang pekerjaan baharu, serta pelaburan dalam industri petrokimia oleh Ammonia Urea Sabah (SAMUR) yang menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan – sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kerajaan GRS PH Plus turut aktif membantu belia Sabah mendapatkan kemahiran melalui program latihan kemahiran dan kerjasama dengan syarikat-syarikat pelaburan ini.
Kerajaan Negeri Sabah terus mempergiatkan usaha membina infrastruktur asas yang kondusif untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya di kawasan luar bandar.
Pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor telah menunjukkan integriti dan komitmen yang jelas terhadap kesejahteraan rakyat Sabah, dan dakwaan mengenai ketidakcekapan atau isu integriti adalah usaha untuk mengalih perhatian daripada pencapaian sebenar kerajaan GRS. Oleh itu, adalah penting untuk menilai kerajaan berdasarkan fakta dan rekod pencapaian, bukan berdasarkan tohmahan yang tidak berasas.
Saya menyeru agar semua pihak menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat dan memberi sokongan kepada usaha kerajaan negeri dalam membangunkan Sabah.
Dengan ini, saya menegaskan bahawa kerajaan GRS PH Plus kekal fokus kepada agenda pembangunan dan kepentingan rakyat, dan kami tidak akan terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas yang hanya bertujuan untuk melemahkan keyakinan rakyat.
Saya ingin menasihatkan YB Bung Moktar agar menyemak fakta dengan teliti sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh berbaur kebencian atau dendam. Beliau harus menyedari bahawa kepentingan peribadi atau agenda politik sempit tidak boleh diletakkan sebagai senjata utama untuk memenangi hati rakyat.