Ewon lancar mesin ATM Bank Rakyat di Taginambur, kemudahan buat rakyat Kadamaian

KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan mesin ATM Bank Rakyat di Taginambur, di sini untuk memberikan kemudahan kepada rakyat Kadamaian.

Advertisements

Mesin ATM Bank Rakyat yang terletak di Tag Valley Taginambur Kota Belud itu adalah yang pertama di kawasan Kadamaian dan keenam di seluruh Kota Belud.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, pengwujudan mesin ATM Bank Rakyat di kawasan Kadamaian bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk setempat tetapi dapat merancakkan sektor ekonomi kawasan ini.

“Ini adalah mesin ATM Bank Rakyat yang pertama di Kadamaian dan sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu oleh masyarakat. Mereka tidak perlu lagi ke Pekan Kota Belud untuk mengeluarkan wang daripada mesin ATM kerana, ia sudah ada di kawasan Pekan Taginambur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis ringkas pelancaran Mesin ATM Bank Rakyat di dalam premis Tag Valley, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud dan ketua-ketua agensi KUSKOP.

Sementara itu seorang penduduk Kg.Tambulaung, Johnny Gilong menyambut baik pengwujudan mesin ATM Bank Rakyat di Tag Valley dan menyifatkannya sebagai satu perkembangan besar bagi Kadamaian.

“Ini satu perkembangan yang besar kerana selama ini belum ada mesin ATM Bank Rakyat di kawasan ini.

“Terima kasih kepada Bank Rakyat, terutamanya ADUN Kadamaian atas inisiatif menyediakan kemudahan yang amat diperlukan penduduk bukan sahaja kawasan Taginambur tetapi Kadamaian, Kota Belud.

“Taginambur sejauh 16km dari Pekan Kota Belud dan tidak perlu lagi kami ke sana setakat untuk mengeluarkan wang, kerana Taginambur pun sudah ada Mesin ATM,” katanya.

Penduduk Kg.Kiau Sharon Lun Johny dan Bshenichie Faungin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Bank Rakyat kerana menyediakan perkhidmatan Mesin ATM di kawasan Kadamaian.

“Saya percaya ini adalah usaha YB Datuk Ewon yang begitu prihatin terhadap keperluan masyarakat Kadamaian.

“Ia bukan sahaja memudahkan penduduk setempat untuk mengeluarkan wang di Mesin ATM tetapi juga kepada para pelancong dan pengunjung di sini,” katanya.

Sementara itu, lebih 5,000 orang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas Kadamaian sempena Majlis Santuni MADANI KUSKOP Bersama Komuniti Kota Belud, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick, pemimpin negeri, Ketua Setiausaha KUSKOP Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan pelbagai bantuan pembiayaan daripada agensi-agensi KUSKOP kepada koperasi dan usahawan kawasan Kadamaian.

Institut Keusahawanan Malaysia (IKMa) menyampaikan Bantuan Pakej Latihan dan Bimbingan Bersasar di bawah Program Mircle IKMa selama 24 bulan kepada Koperasi Minitinduk Kiau Kota Belud Berhad, Koperasi Paka Kota Belud Berhad dan Koperasi Karanahan Kota Belud Sabah Berhad.

Manakala Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyampaikan Bantuan Pembangunan SKM sejumlah RM165,000 dan Bantuan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebanyak RM89,000 untuk kawasan Kadamaian.

SME Corp menyampaikan Bantuan Geran Permulaan Perniagaan Tunas Usahawan Belia Bumiputera sejumlah RM435,000 kepada tiga penerima.

Ewon turut menyampaikan Bantuan Pembiayaan Young Entrepreneur Fund BizCashPlus daripada SME Bank sejumlah RM600,000 kepada dua usahawan. Tekun turut menyampaikan Bantuan Skim Pembiayaan Tekun Nasional Kota Belud kepada 393 usahawan dari Januari hingga Disember tahun ini di kawasan Kadamaian.

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyampaikan Pembiayaan Sahabat Ushawan AIM Dun Kadamaian sejumlah RM4,940,700 dari Jan-Disember 2024.

Selain itu PERNAS juga menyampaikan bantuan di bawah Program PERNAS Prihatin berupa cermin mata untuk para pelajar sekolah.

Bank Rakyat menyampaikan Bantuan Pembiayaan Mikro-i Penjaja dan Peniaga Kecil (MPPK 2.0), Bantuan Pembiayaan BRPlus-i dan Bantuan Pembiayaan iTEKAD-Rakyatpreneur B40 dengan jumlah keseluruhan sejumlah RM370,000.

Turut disampaikan sumbangan CSR Bank Rakyat berupa komputer kepada SMK Narinang dan SMK Tambulion.

Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyampaikan sumbangan untuk Program Pembangunan Pendidikan Sabah 2025 kepada tiga daerah yang dikategorikan daerah miskin di Sabah iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat bernilai RM3 juta dan Bantuan Awal Pengajian, Insentif Kecemerlangan SPM dan STPM 2024 dan Bantuan Persekolahan kepada SMK Narinang.

Hajiji dan Ewon turut menyampaikan replika kunci rumah SMJ kepada para penerima bantuan rumah dan simbolik penyerahan tiga Tamu Desa di kawasan Kadamaian.

Sambutan Krismas itu dimeriahkan lagi dengan persembahan menarik daripada artis-artis jemputan iaitu Rey Kimara, Felix Agus, S.Walley, Marlleynney Fane dan Winnie Kuntip.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan, antaranya pameran agensi-agensi di bawah KUSKOP, jualan aneka rasa koperasi, pameran produk usahawan Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) dan cabutan bertuah kepada pengunjung bertuah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles