TAWAU: Rakyat di negeri ini diminta tidak terpengaruh dengan mainan politik mengenai pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Sabah, Datuk Rina Haji Jainal berkata pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah mengikut budi bicara KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Katanya, pelantikan Tun Musa,73 tahun sebagai Yang di-Pertua Negeri mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
“Parti politik tidak perlu membuat pelbagai propaganda untuk menghasut rakyat supaya mengkritik pelantikan Tun Musa kerana ia telah melalui proses betul dan sah.
“Rakyat perlu ingat bahawa semua pertuduhan rasuah terhadap Tun Musa sudah pun digugurkan pada tahun 2020 oleh Mahkamah dan keputusan itu perlu dihormati,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Menurutnya, bekas Yang di-Pertua Sarawak Almarhum Tun Abdul Taib Mahmud juga pernah dikritik mengenai dakwaan skandal rasuah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Namun, Jabatan Peguam Negara mengesahkan tiada pendakwaan terhadap Tun Abdul Taib terhadap dakwaan salah guna kuasa dan rakyat Sarawak menerima dengan hati terbuka.
“Sehingga kini, kesatuan pemimpin dan rakyat Sarawak menjadikan negeri itu semakin maju dan ekonominya juga meningkat setiap tahun,” katanya.
Rina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan berkata, sebelum membuat kritikan terhadap sesuatu perkara, perlu membuat kajian terlebih dahulu dan jangan mudah percaya dengan setiap yang diterima terutamanya melalui media sosial.
Menurutnya, cuba baca dan fahami Perlembagaan Negeri Sabah mengenai pelantikan Yang di-Pertua Negeri sebelum membuat sesuatu kritikan.
“Tun Musa mempunyai semua kriteria untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah termasuklah pengalaman yang luas dalam dunia politik dan lama menjadi Ketua Menteri Sabah.
“Saya percaya pelantikan Tun Musa mampu menstabilkan lagi keadaan politik di Sabah memandangkan pegalaman dan pengaruhnya yang luas dalam dunia politik.
“Pengalaman Tun Musa dituntut bagi menyatukan parti-parti politik yang mempunyai pelbagai ragam di negeri ini supaya pentadbiran Sabah bertambah baik pada masa hadapan,” katanya.
Rina yang merupakan Ahli Majlis Tertitnggi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berharap parti politik dan rakyat tidak seharusnya terus menuding jari kepada mana-mana individu ataupun kerajaan negeri mengenai pelantikan Tun Musa.
Katanya, Tun Musa telah pun menerima Surat Cara Pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah dan telah disempurnakan oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Kita pun sudah menyaksikan sendiri ribuan rakyat di negeri ini menyambut kepulangan Tun Musa ke Sabah dengan susana yang sangat meriah.
“Rakyat Sabah juga sudah ‘move on’ dan mahukan hidup dalam keadaan sejahtera di bawah pentadbiran negeri yang stabil.
“Kalau mahu berpolitik ada gelanggang dan masanya, apabila tiba Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan, barulah masing-masing keluarkan manifesto untuk kebaikan rakyat Sabah,” katanya.
Jangan mudah terpengaruh propaganda burukkan TYT Tun Musa, kata Rina
Advertisements