Jeffery Nelson Jalukan (tengah) di apit oleh Cikgu Mikin Ugan (kiri) dan Dr. Gaim (kanan)
Siri 1
TUARAN: Jeffery Nelson Jalukan, graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan anak muda dari Kampung Dangsangai Tuaran, merupakan contoh inspirasi dalam dunia agropreneur.
Beliau mula melibatkan diri dalam bidang pertanian pada penghujung tahun 2020 dengan menanam 700 pokok lada secara konvensional sebagai usaha permulaan. Jeffery berkongsi bahawa penglibatannya bermula kerana minat terhadap pertanian serta keinginan untuk memanfaatkan peluang ekonomi di bidang ini.
Selain itu, latar belakang pendidikan dan pendedahan kepada teknologi moden dalam pertanian menjadi asas kepada kejayaannya.
Inspirasi utama Jeffery untuk memulakan usaha ini secara komersial adalah potensi besar sektor pertanian dalam memenuhi permintaan pasaran dan memberi peluang pendapatan yang stabil.
Beliau melihat lada sebagai tanaman yang bernilai tinggi dengan permintaan yang berterusan, terutamanya dalam industri makanan tempatan dan antarabangsa.
Namun, perjalanan Jeffery tidak mudah. Cabaran terbesar yang dihadapinya adalah kos operasi yang tinggi, ancaman perosak, dan perubahan cuaca. Untuk mengatasinya, beliau berhasrat untuk mengunakan teknologi pertanian seperti sistem pengairan moden yang menjimatkan air, penggunaan baja organik, dan kawalan perosak secara berkesan.
Usaha ini memastikan tanaman lada beliau berkualiti tinggi dan berdaya tahan pada masa akan datang.
Dari segi teknologi, Jeffery juga berhasrat untuk menggunakan teknik seperti pengairan titisan dan aplikasi teknologi IoT (Internet of Things) untuk memantau kesihatan tanaman. Langkah ini diharap dapat membantu meningkatkan produktiviti ladangnya dan memastikan hasil yang lebih konsisten.
Penerimaan pasaran terhadap produk Jeffery amat memberangsangkan. Dengan strategi pemasaran melalui media sosial dan kerjasama dengan pengedar tempatan, perniagaan beliau semakin berkembang.
Beliau juga bercadang untuk memperluas pasaran melalui ke seluruh negeri dan kemungkinan ke luar negara terutama negara jiran terdekat pada masa akan datang. Jeffery juga sedang membuat kajian untuk menambah jenis tanaman bernilai tinggi lain.
Jeffery juga mengakui bahawa bantuan dari agensi kerajaan seperti geran pertanian dan latihan teknikal akan membantu dalam mengembangkan usahanya.
Oleh itu, beliau dalam masa terdekat berharap dapat berhubung dengan agensi-agensi berkenaan. Ini memberi beliau asas kukuh untuk bertahan dan berkembang dalam sektor ini.
Sebagai nasihat kepada golongan muda, Jeffery menegaskan bahawa pertanian adalah kerjaya yang mampan dan berpotensi besar. Menurutnya, dengan sikap inovatif, belia bukan sahaja boleh menjana pendapatan tetapi juga mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain.
Beliau menyeru agar golongan muda berani mencuba bidang ini, sambil menggalakkan sokongan komuniti dan kerajaan untuk membantu merealisasikan potensi agropreneur muda.