Pembangunan kemudahan baharu Ladang MOCCIS bukti gerakan koperasi negara membangun sesuai keperluan semasa – Ewon

TELUK INTAN: Pembangunan kemudahan baharu Ladang MOCCIS Sdn.Bhd bukti gerakan koperasi negara membangun sesuai keperluan semasa, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Advertisements

Beliau berharap kejayaan yang dicapai oleh Ladang MOCCIS dapat menjadi inspirasi kepada gerakan koperasi di seluruh Malaysia.

Katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), melalui agensi seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), akan terus komited membantu memacu gerakan koperasi ini untuk menyumbang kepada aktiviti ekonomi negara.

“Tahniah kepada Koperasi MOCCIS di bawah pimpinan Pengerusi Lembaga Dato Ahmad Sobri Wan Teh yang telah membangunkan perkhidmatan-perkhidmatan baharu sesuai dengan keperluan pasaran pada hari ini. Ini menunjukkan gerakan koperasi negara membangun pesat seiring keperluan semasa.

“Ladang MOCCIS hari ini tidak hanya menjana pendapatan koperasi melalui jualan hasil tuaian sawit, tetapi juga aktiviti pelancongan, hospitaliti dan penternakan termasuk dengan kemudahan baharu iaitu dewan dan rumah kelab.

“Selain itu, pelajar di institusi pengajian tinggi boleh menjadikan Koperasi MOCCIS sebagai case study berkenaan cabaran koperasi dan kejayaan semula koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Sambutan Ulangtahun ke-50 Ladang MOCCIS dan perasmian De 1 MOCCIS Banquet Hall, di De MOCCIS Lake Resort, di sini, semalam.

Ewon yakin Koperasi MOCCIS akan terus maju jaya dan boleh menjadi motivasi kepada koperasi-koperasi yang lain.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Ladang MOCCIS dengan tujuh rakan kerjasama.

Antaranya, Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM); School of Veterinary Medicine, Management & Science University, Shah Alam; Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi MARA Cawangan Jasin, Melaka; Public Gold Marketing Sdn. Bhd; Outward Bound Malaysia, Lumut Perak; Institut Koperasi Malaysia (IKMA) dan MEDIFA Care Group Sdn. Bhd.

Ladang MOCCIS juga menyampaikan sumbangan MOCCIS Prihatin kepada tiga buah sekolah dan pakej tajaan menunaikan ibadah umrah kepada tiga orang pekerjanya.

Ewon berharap, kerjasama strategik dan bantuan prihatin ini akan memberikan berkat bukan hanya kepada koperasi ini tetapi juga kepada masyarakat setempat.

Selepas majlis itu, beliau melancarkan Program Happy Hour Jualan Madani Koperasi dan menaja pembelian berdiskaun barangan pengguna kepada 100 pengunjung pertama yang hadir.

Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS) yang ditubuhkan pada 4 Julai 1934 adalah antara koperasi Bumiputera terbesar di Malaysia yang menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan koperasi sebagai sektor ketiga menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles