KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir menzahirkan sokongan penuh agar satu siasatan menyeluruh dijalankan berhubung skandal rasuah yang mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang tular baru-baru ini.
Beliau berkata pendedahan itu wajar disiasat oleh pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan kedua-dua pihak pemberi dan penerima rasuah agar dapat memastikan keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan.
“Isu ini bukan sahaja melibatkan integriti, tetapi juga kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin turut menyatakan pendirian yang sama.
Sementara itu, Suhaimi turut menyambut baik pendirian Ketua Menteri Sabah, yang menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan tersebut.
“Saya mengecam penyebaran maklumat yang tidak berasas serta tidak bertanggungjawab yang mengaitkan UMNO Sabah dengan penyebaran skandal-skandal ini. Saya menafikan sekeras-kerasnya,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa perlu diberi ruang seluas-luasnya dan hormat kepada proses siasatan.
“Ini memastikan agar siasatan mampu dijalankan secara tuntas, teliti dan adil mengikut lunas undang-undang tanpa gangguan,” katanya.