TUARAN: Persatuan Petani dan Penternak Bumiputera Sabah (PETANAH) menyokong penuh cadangan agar penduduk asal Sabah mendaftar semua MyKad yang dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan Sabah.
Presiden PETANAH Gundohing Gaibin Ransoi berkata pendekatan baharu yang dicadangkan menerusi penurunan kuasa itu mampu membantu mengesan dan mencegah penipuan identiti yang boleh digunakan untuk memperolehi kewarganegaraan.
Selain itu, katanya ia boleh membantu memastikan bahawa orang asal Sabah mendapat hak dan manfaat yang sewajarnya.
Ini termasuk akses kepada pendidikan, pekerjaan dan peluang ekonomi, sekali gus boleh membantu meningkatkan kepercayaan awam dalam sistem kewarganegaraan, katanya ketika diminta mengulas cadangan itu.
“Sebab itu, PETANAH menyokong cadangan YB Datuk seri Salleh demi kebaikan dan masa depan Sabah yang lebih baik,” katanya.
Semalam, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak telah melontarkan idea agar semua penduduk asal Sabah mendaftar semula MyKad bagi menangani pelbagai isu dokumentasi, termasuk dokumen burung-burung.
Beliau yang juga Adun Usukan berkata adalah lebih baik jika keseluruhan proses pendaftaran itu dikendalikan oleh kerajaan Sabah.