Oleh Yussof J. Imbang
KOTA KINABALU; Seramai 300 peserta terdiri daripada Ketua-ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) daripada 74 bahagian parti itu termasuk Labuan akan menghadiri seminar sehari di Pusat Konvinsen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 8 November ini.
Setiap bahagian parti itu akan diwakili empat peserta terdiri daripada ketua penerangan tiga sayap utama parti itu dan ketua penerangan bahagian masing-masing.
Ahli-ahli Majlis Tertinggi serta beberapa Ketua-ketua Bahagian Gagasan Rakyat turut dijemput menghadiri seminar tersebut.
Pengisian utama seminar sehari itu ialah sisi ceramah bertajuk ” Solidariti Menuju Pilihanraya ” yang akan disampaikan oleh Naib Presiden parti itu, Datuk Masiung Banah yang akan mengupas menganai isu-isu semasa menjelang kempen pilihanraya negeri ke-17 tahun hadapan.
Para peserta juga berpeluang untuk berdiskuasi mengenai hala tuju Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH) menjelang pilihanraya negeri dan pilihanraya parlimen akan datang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri yang juga Naib Presiden 1, Gagasan Rakyat, Datuk Dr. Haji Mohd. Ariffin Arif akan merasmikan seminar tersebut yang dihoskan Ketua Penerangan parti itu, Datuk Haji Nizam Datuk Abu Bakar Titingan.
Gagasan Rakyat dijadualkan mengadakan Persidangan Agung Tahunan 2024 bermula pada 9 November ini melibatkan persidangan tiga sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis yang akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Masidi Manjun.
Semantara, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat akan melakukan upacara perasmian Persidangan Agung Tahunan Induk pada 10 November di SICC.